suria

Pembangkang Boikot Sertai PSC Lynas

KUALA LUMPUR: Gara-gara tidak berpuas hati apabila usul penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi mengkaji mengenai Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) mendapat undi sokongan majoriti, Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan sebagai tanda protes.

Majoriti wakil rakyat pembangkang diketuai Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) dilihat keluar daripada dewan sejurus selepas Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee mengumumkan usul penubuhannya diluluskan Dewan Rakyat.

Kesemua wakil rakyat pembangkang itu kemudiannya mengadakan sidang media di lobi Parlimen.

Malah kumpulan wakil rakyat itu sebulat suara menyatakan pendirian memboikot penyertaan mereka dalam jawatankuasa berkenaan.

"Kami kecewa kerana kerajaan tidak menyatakan dengan jelas terma dan rujukan khusus mengenai objektif penubuhan jawatankuasa tersebut.

"Melalui kertas usul yang dinyatakan kerajaan mengenai PSC Lynas, hanya dinyatakan bahawa penubuhannya sekadar mahu meneliti isu keselamatan, jumlah keanggotaan serta tempoh yang diberikan kepada jawatankuasa itu," katanya pada sidang di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Sementara itu Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, walaupun pada awalnya pembangkang menyambut baik kewujudan jawatankuasa itu namun begitu selepas mengkaji pelbagai perkara, pihaknya kini tidak akan menyertainya.

"Kita mahu jawatankuasa ini bersikap adil dengan memberi penekanan kepada soal keselamatan rakyat, namun melihat kepada reaksi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), kita tahu bahawa projek ini tetap akan diteruskan.

"Kita sudah jangkakan projek ini akan diteruskan, mengapa lagi kita mahu menyertai dan kita tahu apa saja yang kami (pembangkang) bangkitkan tidak akan diberi perhatian," katanya yang juga Ahli Parlimen Batu.

Terdahulu ketika membentangkan usul berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata penubuhan jawatankuasa itu bertujuan meneliti isu-isu yang menjadi perhatian pihak awam serta standard keselamatan projek tersebut.

Jawatankuasa berkenaan yang diberi tempoh selama tiga bulan akan dianggotai oleh sembilan Ahli Parlimen iaitu lima daripada Barisan Nasional (BN), tiga mewakili pembangkang dan seorang wakil Bebas.

Artikel Lain