suria

Pelan Transformasi Perbaiki Prestasi Sekolah Luar Bandar Dirangka

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan merangka satu pelan transformasi bagi memperbaiki prestasi sekolah luar bandar memandangkan masih wujud jurang yang ketara daripada segi prestasi sekolah bandar dan luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pelan Transformasi Pendidikan Luar Bandar itu yang akan memberi tumpuan kepada sekolah menengah di luar bandar akan menumpu kepada aspek seperti tenaga pendidik, prasarana, mutu pembelajaran, peruntukan dan peranan ibu bapa.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau telah meminta Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud menyiapkan laporan mengenai pelan itu sebelum penghujung tahun ini.

"Ini keputusan yang saya sudah buat. Ini sebagai membuat analisa daripada keputusan (Sijil Pelajaran Malaysia 2011) yang telah kita lihat pada hari ini.

"Walaupun saya berpuas hati, pencapaian kita adalah jauh lebih baik, (ada) peningkatan dalam semua mata pelajaran, tetapi pencapaian antara pelajar-pelajar itu juga ada perbezaan seperti antara pelajar Melayu, Cina, India dan Bumiputera," katanya kepada pemberita selepas beramah-mesra dengan pelajar yang mengambil keputusan SPM 2011 dan ibubapa di Sekolah Menengah Sains Alam Shah di sini, Rabu.

Muhyiddin berkata, daripada aspek tenaga pendidik, ia akan dilihat sama ada kemahiran mereka dapat mengisi keperluan di sekolah berkenaan (luar bandar), manakala aspek prasarana melihat sama ada bangunan yang ada itu selesa, lengkap atau terlebih murid, atau tidak mempunyai kemudahan makmal atau kemudahan lain yang mungkin mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

"Kita juga akan meneliti dari sudut mutu pembelajaran, bagaimana tiap-tiap mata pelajaran itu diajar terutama mata pelajaran yang dianggap teras, seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan juga Sejarah.

"Ini kerana mulai tahun depan, mata pelajaran Sejarah akan menjadi mata pelajaran wajib walaupun dari segi keputusan tahun ini, mata pelajaran tersebut menunjukkan peningkatan, begitu juga dari segi kelulusan yang bertambah baik, malah agak luar biasa daripada yang dijangkakan," katanya.

Beliau berkata, aspek sumber iaitu peruntukan yang disediakan untuk sekolah di luar bandar juga akan diteliti dan akan diambil kira untuk belanjawan tahun depan yang mungkin ditambah jika sekolah berkenaan memerlukan peruntukan yang lebih untuk meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah luar bandar.

"Di samping itu, kita nak melihat peranan ibubapa yang mungkin perlu dibuat kajian yang lebih mendalam tentang persekitaran tempat pelajar itu tinggal. Ini kerana kadang-kadang bukan masalah sekolah tetapi masalah di rumah, peranan ibubapa serta peranan Persatuan Ibubapa dan Guru di sekolah," katanya.

Muhyiddin berkata, matlamat beliau ialah mungkin dalam tempoh 10 tahun, jurang antara sekolah bandar dan luar bandar itu tidak terlalu berbeza atau setidak-tidaknya tahap pencapaian sekolah luar bandar itu sama daripada segi Gred Purata Nasional (GPN).

Katanya, langkah-langkah juga akan diambil bagi memperbaiki jurang antara kaum daripada segi pencapaian pendidikan terutama pencapaian pelajar Melayu berbanding pelajar Cina dan India.

"Kita ada analisa. Saya fikir anak-anak Melayu dan Bumiputera mesti belajar lebih bersungguh-sungguh walaupun ada sekolah yang cemerlang tetapi pada umumnya pencapaian anak-anak Melayu dalam bidang pendidikan masih jauh berbanding Cina dan India," katanya.

Mengulas mengenai keputusan SPM 2011, Muhyiddin berkata, beliau mendapati keputusan pada tahun ini adalah lebih baik, malah terbaik dalam tempoh lima tahun memandangkan GPN ialah 5.04 berbanding 5.19 pada 2010.

"Namun begitu, matlamat kementerian ialah supaya kita dapat meningkatkan pencapaian pelajar kita pada setiap tahun.

"Tahun ini sudah dianggap terbaik dalam tempoh lima tahun tetapi masih ada ruang untuk mempertingkatkan prestasi pelajar dan sekolah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain