suria

Pegawai Johor FA Ditahan, Didakwa Terlibat Atur Perlawanan Bola Sepak

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai daripada Persatuan Bola Sepak Johor (Johor FA) ditahan kerana didakwa terlibat dalam aktiviti mengatur perlawanan bola sepak di negeri itu.

Difahamkan, wanita berusia 31 tahun itu telah ditahan pada Ahad berikutan satu laporan polis dibuat oleh seorang pegawai Johor FA pada hari tersebut.

Beberapa sumber memberitahu, wanita itu yang didakwa mempunyai kaitan dengan beberapa bookie tertentu, telah ditahan reman selama tujuh hari bagi melengkapkan siasatan polis.

Mereka berkata, polis turut menyiasat dakwaan mengenai wanita berkenaan yang berhubung rapat dengan seorang pegawai polis dari Bahagian Anti Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian.

“Polis, bersama-sama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan mengatur perlawanan di mana mereka hanya 'merosakkan' perlawanan bola sepak.

“Ketua Polis Johor, Timbalan Pesuruhjaya Datuk Mohd Mohktar Sheriff sendiri mengetuai siasatan tersebut dan mahu semua mereka yang terlibat disiasat, termasuk sekiranya pegawai polis turut terlibat dalam mana-mana cara sekali pun bagi mengatur perlawanan di sini,” kata sumber itu.

Mohd Mokhtar ketika dihubungi pada Rabu mengesahkan seorang wanita telah ditahan untuk disoal siasat.

Beliau berkata, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa, termasuk pegawainya sendiri sekiranya mereka didapati terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Tengku Mahkota Johor dilaporkan baru-baru ini bertitah bahawa terdapat aktiviti mengatur perlawanan berlaku di negeri itu dan antara yang mereka yang didakwa terlibat merupakan pegawai polis.

SPRM turut berkata, mereka sedang menyiasat kes tersebut dan akan menyiasat beberapa individu tidak lama lagi.

Artikel Lain