suria

PAC Terus Siasat Skandal NFCorp

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan meneruskan siasatan terhadap skandal Pusat Fidlot Nasional (PFN) yang dikendalikan National Feedlot Corporation (NFCorp).

Pengerusinya Datuk Seri Azmi Khalid berkata, keputusan bagi meneruskan siasatan berkenaan dibuat selepas jawatankuasa berkenaan mengambil kira pandangan yang diberikan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

"Speaker tidak beri arahan, tapi beliau bagi nasihat mengenai kedudukan siasatan PAC terhadap isu NFCorp.

"Saya difahamkan semalam dan pagi ini speaker buat keputusan bahawa perkara yang tidak boleh disentuh ialah berkaitan dengan kes (mahkamah), yang tak berkaitan dengan kes boleh dibincangkan," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan mengenai status perjalanan siasatan jawatankuasa itu terhadap NFCorp apabila pihak pengurusan syarikat milik Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu mengambil pendirian untuk tidak memberi keterangan dengan alasan kes tersebut berada di peringkat mahkamah.

Malah sebelum ini Pandikar turut pernah menolak usul bagi membincangkan mengenai isu yang sama pada persidangan Dewan Rakyat minggu lalu.

Baru-baru ini Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat tuduhan berasingan melakukan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta dan menggunakan harta syarikat itu tanpa kebenaran tiga tahun lalu.

Mengulas lanjut Azmi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata, siasatan terhadap NFCorp perlu diteruskan bagi mengkaji mengenai kelemahan sistem pengurusan kewangan dalam usaha membantu kerajaan menjalankan semakan terhadap projek-projek yang dilaksanakan.

"Kita akan teruskan (siasatan), kita mahu membantu dalam usaha menyemak dalam urusan kewangan. Perkara yang ada kaintan dengan mahkamah kita tidak akan sentuh.

"Tetapi yang akan kita sentuh ialah bagaimana wang kerajaan digunakan, bagaimana kelulusan dibuat serta apa masalah yang timbul. Ini semua ada kaitan dengan pengurusan kewangan dan matlamatnya ialah untuk membantu kerajaan," katanya.

Dalam pada itu ditanya sama ada PAC akan memanggil pengurusan tertinggi NFCorp bagi memberi keterangan, Azmi berkata: "Kita tidak tentukan (siapa yang perlu hadir), tapi kita sudah buat keputusan bahawa PAC berhak memanggil NFCorp secara terus tanpa melalui agensi kerajaan yang terlibat."

Tambah beliau, PAC berhak mengetahui mengenai pengurusan kewangan projek PFN kerana dana yang diberikan kerajaan diluluskan menerusi Dewan Rakyat.

"Saya ingin tegaskan siasatan kita hanya mengenai pinjaman yang diberikan. Duit kerajaan diluluskan oleh Parlimen, jadi PAC berhak untuk mengetahui di mana berlakunya perkara yang tidak betul," katanya.

Bagaimanapun Azmi berkata, keputusan untuk memanggil pihak-pihak berkaitan bagi meneruskan siasatan PAC akan diputuskan minggu hadapan selepas pihaknya mendapat dokumen-dokumen penting daripada dua agensi utama bagi projek tersebut.

"Kita tunggu untuk dapatkan dokumen berkenaan daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam masa satu atau dua hari.

"Selepas itu kita akan tentukan siapa yang akan dipanggil memberi keterangan," katanya.

Artikel Lain