suria

Miliki Dadah: Penganggur Didenda RM5,000

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur hari ini didenda RM5,000 atau setahun penjara oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini selepas mengaku bersalah terhadap dua kesalahan memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badannya.

Majistret Zuliana Zulkapli menjatuhkan hukuman itu terhadap Amir Hamzah Nanudin, 56, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki satu paket plastik mengandungi 0.08 gram dadah jenis methaphetamine dan memasukkan dadah itu ke dalam tubuh badan sendiri.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan pondok papan di tepi sungai, Chalet Indah Redha, Kampung Kemensah, Ampang, pada pukul 1.40 petang, 9 Mei, 2011.

Amir Hamzah yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak kurang RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dia juga didakwa mengikut Seskyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 dan dua tahun pengawasan.

Bagi pertuduhan pertama Amir Hamzah didenda RM3,000, jika gagal bayar enam bulan penjara manakala pertuduhan kedua dia didenda RM2,000, jika gagal bayar enam bulan penjara serta dua tahun pengawasan.

Kedua-dua hukuman berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Eliana Ismail. -BERNAMA

Artikel Lain