suria

MAS Akan Sertai Sekutu Oneworld Akhir Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) telah bersedia untuk menjadi ahli sepenuhnya kepada sekutu "oneworld" menjelang akhir tahun ini.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, ketua pegawai eksekutif kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, "Selepas "airberlin", syarikat penerbangan Malaysia ini akan menjadi ahli penuh kepada sekutu "oneworld".

"Prospek menawarkan liputan dan saling hubung global menerusi rangkaian meluas syarikat penerbangan terkemuka kepada pengguna Malaysia Airlines adalah sesuatu yang amat mengujakan," kata beliau.

"Pengguna kami, terutamanya ahli-ahli program setia "enrich", akan mendapat manfaat daripada ganjaran dan pengiktirafan, dan pada masa yang sama menikmati pilihan pengembaraan udara tiada sempadan," tambah beliau.

MAS amat berharapkan keanggotaan sepenuhnya yang boleh meningkatkan kesedaran jenamanya di kalangan pengguna ahli sekutu dan menambah faktor bebannya menerusi rakan trafik tambahan, kata Ahmad Jauhari.

Ini sebaliknya mampu memacu saling hubung hab bagi memudahkan langkauan global syarikat penerbangan menerusi rangkaian "oneworld" iaitu kira-kira 800 destinasi di 150 negara.

Oneworld berhasrat menjadi sekutu syarikat penerbangan pilihan untuk pengembara antarabangsa, membawa bersama nama-nama terbaik dan terbesar dalam industri penerbangan termasuk airberlin, American Airlines, British Airways, Cathay Pacific dan Japan Airlines. - BERNAMA

Artikel Lain