suria

Adun BN Diarah Keluar Dewan Dua Jam

SHAH ALAM: Sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada Rabu menjadi hangat sehingga menyebabkan seorang wakil Barisan Nasional diarah keluar dewan selama dua jam kerana tidak mematuhi arahan Speaker tidak membenarkannya mengemukakan soalan tambahan.

Kekecohan itu timbul apabila Datuk Mohd Isa Abu Kassim (BN-Batang Kali) mempersoalkan kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendakwa ada sesetengah projek di era pentadbiran terdahulu yang kos asalnya RM20 juta melambung sehingga RM40 juta.

Mohd Isa berkata, kenyataan itu seolah-olah menuduh pegawai kerajaan ketika zaman pentadbiran terdahulu tidak jujur dan ikhlas dalam menyediakan dokumen kontrak projek yang dimaksudkan.

"Saya nak senarai projek yang YAB maksudkan dan siapa sediakan dokumen tender ini.

"Ini satu penghinaan kepada penjawat awam yang menjawat jawatan di Jawatankuasa Teknikal Pejabat Daerah. Saya memohon penjelasan," katanya.

Speaker Datuk Teng Chang Kim menegur Mohd Isa dengan berkata, beliau tidak boleh mengemukakan soalan tambahan pada masa itu sebab Menteri Besar mempunyai 11 soalan untuk dijawab dan mesti diberikan ruang secukupnya.

Tindakan Mohd Isa yang masih mahu mengemukakan soalan tambahan membuatkan Teng mengarahkan beliau keluar dewan selama dua jam mengikut Peraturan 44(2) Peraturan Tetap dewan.

Dalam sidang akhbar kemudian, Mohd Isa mempersoalkan tindakan Teng yang tidak memberikan beliau peluang mengemukakan soalan tambahan.

"Kita wakil dari pembangkang hendak mendengar penjelasan kerajaan negeri iaitu daripada Menteri Besar sendiri mengenai sesuatu isu yang dibangkitkan dan dewan yang mulia inilah tempat yang sesuai," katanya.

Teng pula berkata, beliau tidak membenarkan Mohd Isa mengemukakan soalan tambahan atas alasan kekangan masa bagi membolehkan lebih banyak soalan asal dijawab oleh kerajaan negeri.

"Lagipun saya hanya mengarahkan beliau keluar dewan selama dua jam dan beliau masih boleh mengambil bahagian dalam sesi perbahasan nanti," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain