suria

Ubah Wang Haram, Bekas Setiausaha Politik Menteri Didakwa

SHAH ALAM: Hasbie Satar, bekas Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, Selasa atas 28 tuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram sebanyak RM935,000.

Tertuduh mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan selepas kesemua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Hasbie, 39, didakwa mendepositkan wang ke dalam akaun bank 11 individu termasuk ahli keluarganya.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di beberapa bank dan Tabung Haji di tiga lokasi iaitu di Salak Tinggi, Sepang, Bandar Baru Bangi dan Putrajaya antara 4 Dis 2008 dan 18 Jun 2009.

Hasbie didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis dan Hazril Harun mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM100,000 dan memohon kesemua 28 pertuduhan itu dibicarakan bersama.

Pihak pendakwaan turut memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang di mana tertuduh mempunyai satu lagi pertuduhan di bawah akta yang sama.

Permohonan di bawah Seksyen 165 Kanun Prosedur Jenayah itu dibuat atas alasan kesemua 28 pertuduhan tersebut melibatkan seksyen yang sama dan kebanyakan saksi adalah saksi yang sama dalam kes di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Pada 10 Feb tahun lepas, Hasbie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan memiliki wang daripada hasil aktiviti haram berjumlah RM2,134,656 dan dia dibebaskan dengan jaminan RM60,000 serta dua orang penjamin.

Peguam Y. Sheelan Samuagam yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM30,000 atas alasan jumlah yang ditawarkan pihak pendakwaan terlalu tinggi memandangkan anak guamnya telah dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM90,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes.

Beliau turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kesemua 28 pertuduhan dibicarakan bersama tetapi menolak permohonan mereka untuk memindahkan kesemua kes itu ke Mahkamah Sesyen Butterworth. - BERNAMA

Artikel Lain