suria

Shanghai & China Pamer Kehebatan Luar Biasa

SEORANG sahabat penulis yang pertama kali menjejakkan kakinya di tanah besar Republik Rakyat China, khususnya Shanghai berkata, dia terkejut beruk sebaik sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong.

Pudong adalah salah satu daerah yang termasuk di dalam wilayah perbandaran Shanghai.

Dia terkejut kerana tidak menyangka sama sekali yang Shanghai itu adalah sebuah bandar raya besar dan tidak langsung melambangkan yang ia adalah sebuah bandar dalam negara komunis.

"Kehebatannya, bangunan-bangunannya, sistem pengangkutannya mengalahkan mana-mana bandar raya besar dalam dunia barat. Aku tidak terasa walau sedikit pun yang aku berada dalam sebuah negara yang masih lagi mengamalkan komunisme," kata kawan penulis itu.

Sebenarnya komunisme tidak ada kena mengena dengan sejarah pembangunan bandar Shanghai kerana bandar ini wujud jauh lebih lama daripada kewujudan komunisme itu sendiri. Maka tidak hairanlah kehebatannya melangkaui komunisme.

SEJARAH

Shanghai adalah bandar yang terbesar di Republik Rakyat China (malah di dunia) dari sudut populasi - dengan jumlah penduduk seramai 23 juta orang.

Cuba bayangkan hampir keseluruhan penduduk Malaysia 'disumbat' dalam sebuah perbandaran sepertimana Shanghai. Jadi Shanghai tiada tolok bandingnya dengan mana-mana bandar pun dalam dunia ini.

Maka itu juga ia adalah sebuah bandar global - dengan pengaruh komersial, budaya, kewangan, media, fesyen, teknologi dan pengangkutan yang tersendiri dan hebat.

Tumpuan antarabangsa ke atas Shanghai bermula pada abad ke-19 ekoran pengaruh dan perkembangan ekonominya dan dagangan di muncung Sungai Yangtze.

Menjelang Perang Candu (1839–1842), pihak British buat seketika mengambil alih pentadbiran bandar ini. Peperangan ini berakhir dengan Perjanjian Nanjing pada tahun 1842 - sekaligus turut membuka laluan kepada perjanjian pelabuhan Shanghai untuk dagangan antarabangsa.

Ini diikuti dengan Perjanjian Bogue yang ditandatangani pada 1843 dan kemudian disusuli dengan Perjanjian Sino-Amerika di Wanghia pada tahun 1844 yang membolehkan buat pertama kalinya negara asing datang dan berurus niaga di bumi China.

Perjanjian ini membuka laluan kepada Britain, Perancis dan Amerika Syarikat untuk membuka konsesi perdagangan dan petempatan di luar bandar bertembok Shanghai.

Dengan semakin berkembangnya Shanghai sebagai sebuah perbandaran maka pada tahun 1854, Kerajaan China membentuk Majlis Perbandaran Shanghai untuk mengurus petempatan asing yang diwujudkan di luar tembok besar bandar tersebut.

Antara tahun 1860–1862, beberapa pemberontakan kecil cuba menyerang dan mengambil alih Shanghai dengan memusnah dan membakar beberapa kawasan pinggir bandar itu namun masih gagal menawan Shanghai.

Selepas berakhir pemberontakan, pada tahun 1863, pihak British dan Amerika bersatu untuk membentuk apa yang dipanggil Daerah Petempatan Antarabangsa Shanghai.

Pihak Perancis enggan menyertai gabungan tersebut dan terus kekal mentadbir kawasan petempatan mereka sendiri di Selatan Shangsai.

Menjelang tahun 1920an dan 1930an, satu era kemunculan pendatang Rusia pula mula membanjiri bandar ini dan jumlah mereka mencecah lebih 20,000 orang termasuklah keturunan Yahudi Rusia.

Kumpulan ini lari meninggalkan Rusia kerana enggan berada di bawah pemerintahan Kesatuan Soviet yang baru dibentuk.

Jumlah penduduk asing di Shanghai terus berkembang sehinggakan pada tahun 1932, Shanghai secara rasminya menjadi bandar kelima terbesar di dunia dengan jumlah penduduk asingnya mencecah 70,000 orang.

PUSAT SEGALA-GALANYA

Shanghai juga merupakan pusat utama perdagangan dan kewangan Republik Rakyat China dan berada di tangga kelima dalam indeks pusat kewangan global. Ini tidak menghairankan jika faktor sejarah diambil kira kerana seawal tahun 1930an lagi, Shanghai adalah bandar raya paling makmur dan maju di Timur Jauh.

Kemudian apabila Parti Komunis China memutuskan reformasi di China haruslah terlebih dahulu dimulakan dengan reformasi ekonomi (ternyata ini adalah satu strategi politik yang betul) demi untuk meneruskan kelangsungan politik komunisme itu sendiri, mereka telah memilih Daerah Pudong (dalam perbandaran Shanghai) sebagai projek pilot.

Akhirnya menjelang 2009, terdapat 787 institusi kewangan di Shanghai yang mana 170 daripadanya adalah pelaburan institusi antarabangsa.

Pada tahun itu juga Bursa Shanghai menduduki tangga ketiga di dunia dari segi jumlah yang didagangkan dan ditangga keenam dunia dari segi penguasaan keseluruhan syarikat yang disenaraikan serta jumlah dagangan enam komponen utama komoditi termasuklah getah, tembaga dan zink.

Pada tahun 2010, Pelabuhan Shanghai diiktiraf sebagai pelabuhan kontena terbesar dunia menguruskan 29.05 juta TEU.

Pengeluar terbesar besi dan keluli China - Baosteel Group dan salah satu pembuat kapal terbesar dan tertua di China - Jiangnan Shipyard juga terletak di Shanghai.

Satu lagi aspek yang menakjubkan tentang Shanghai ialah sistem pendidikannya yang diberi kuasa autonomi telah diiktiraf sebagai yang terbaik di dunia.

Ia adalah bandar pertama di China yang mewajibkan sembilan tahun pembelajaran mandatori. Bancian yang dijalankan pada 2010 mendapati, daripada 23 juta penduduk Shanghai, 22% tamat pengajian tinggi, 21% tamat pengajian menengah.

Di Shanghai sahaja terdapat 930 buah kindergarten, 1,200 buah sekolah rendah dan 850 buah sekolah menengah atas.

Seramai 760,000 orang belajar di peringkat menengah dengan 76,000 orang guru manakala 871,000 lagi dicatatkan sebagai pelajar sekolah rendah dengan 64,000 orang guru.

Di peringkat pengajian tinggi pula, di Shanghai terdapat 30 buah universiti dan kolej termasuk universiti-universiti berprestij seperti Universiti Fudan, Universiti Shanghai Jiao Tong, Universiti Tongji, East China Normal University, Shanghai International Studies University, dan Shanghai University of Finance and Economics.

Bancian mengenai tahap kebolehan membaca, pada tahun 2010 turut mendapati, kanak-kanak pra sekolah di Shanghai setahun lebih awal boleh membaca berbanding dengan kanak-kanak yang sebaya dengan mereka di Eropah dan Amerika.

SISTEM PENGANGKUTAN AWAM

Dan ungkapan sahabat penulis tentang kecanggihan sistem pengangkutan awam Shanghai juga adalah benar. Sistem pengangkutan sistem kereta api metro, bas dan teksi bandar ini adalah satu sistem berintegrasi dengan menggunakan satu sistem kad.

Betapa besarnya sistem metro Shanghai, ia mempunyai 12 laluan, 273 stesen dengan landasan sepanjang 420km - menjadikan sistem ini yang terpanjang di dunia. Manakan tidak, 7.54 juta orang menggunakan sistem kereta api metro Shanghai setiap hari.

Tidak cukup dengan itu, Shanghai juga memiliki sistem rangkaian bas perbandaran yang paling ekstensif di dunia. Ini termasuklah sistem perkhidmatan bas troli yang paling lama di dunia.

Dan akhir sekali, Daerah Komersial Pudong yang juga terletak di dalam perbandaran Shanghai memiliki mercu tanda antara yang tertinggi di dunia seperti Menara Jin Mao dan Pusat Kewangan Dunia Shanghai setinggi 492 meter adalah yang tertinggi di Negeri China dan yang ketiga tertinggi di dunia. Tidak lama lagi iaitu menjelang tahun 2014, apabila siapnya Menara Shanghai setinggi 632 meter atau 127 tingkat, ia akan mengambil alih status sebagai menara paling tinggi di Negeri China.

****

KINI KUASA BARU DALAM BOLASEPAK

Tidak cukup dengan itu semua, laporan terbaru yang penulis terima ialah, China kini sedang bersungguh-sungguh untuk menjadi kuasa bolasepak Asia malah mungkin dunia dengan memasarkan liga perdana mereka sebagai antara yang terbaik. Untuk itu mereka sanggup berbelanja besar untuk menarik minat pemain-pemain ternama dunia.

Yang terbaru, akhbar The Sun UK dalam laporan eksklusif mereka mendedahkan sebuah kelab Liga Super China, Guizhou Renhe telah bersedia untuk menawarkan gaji yang sangat lumayan dan luar biasa banyaknya kepada pemain pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand dan pemain tengah Chelsea, Frank Lampard.

Guizhou Renhe dilaporkan sanggup membayar kedua-dua pemain ternama itu £250,000 seminggu bersamaan dengan £1 juta sebulan.

Pengerusi Guizhou, Wang Guolin dipetik sebagai berkata: "Kami ingin menjadi kelab bolasepak terbaik China dan kami telah bersedia untuk melabur sejumlah wang yang besar untuk membawa Ferdinand dan Lampard ke China.”

Pini Zahavi, ejen kepada Ferdinand dan ramai pemain terkemuka dunia termasuk Carlos Tervez mengesahkan tawaran kelab-kelab Liga Super China ke atas pemain-pemain terkemuka dunia termasuk Ferdinand sendiri.

“Mereka ada duit, mereka ada penonton dan mereka ada kelab yang kukuh. Yang mereka tidak ada sekarang ialah nama-nama besar dalam bolasepak dunia. Tetapi kini keadaan akan berubah dan China akan menjadi destinasi seterusnya pemain ternama dunia,” ujar Zahavi.

Dan nampaknya bukan Guizhou sahaja yang beria-ia untuk membawa masuk Lampard sebaliknya sebuah lagi kelab Liga Super, Shanghai Shenhua juga mahukan khidmat pemain antarabangsa England itu bersama-sama rakan sepasukannya, Didier Drogba.

Malah mereka mahu menawarkan jawatan pengurus kepada Jose Mourinho, bekas pengurus Chelsea dan kini pengurus Real Madrid. Tawaran untuk Mourinho lagi dahsyat iaitu gaji sebanyak £300,000 seminggu selepas cukai.

Yang menakjubkan ialah kelab-kelab ini cukup kaya dan memiliki aliran tunai yang sangat luar biasa banyaknya sehinggakan mereka tidak berhadapan dengan masalah yang besar untuk menawarkan gaji yang lumayan kepada bintang-bintang bolasepak dunia.

PELUANG KEEMASAN UNTUK KUDA TUA

Mereka menggunakan strategi tawaran gaji yang lumayan dan sukar untuk ditolak ini sebagai umpan kepada pemain-pemain ternama yang sudah berusia kerana ia merupakan peluang terakhir untuk membuat duit sebelum menamatkan karier profesional sebagai pemain bolasepak.

Apatah lagi Liga Perdana Inggeris adalah liga paling popular dan paling dikenali di China dan nama-nama besar ini akan menarik penonton ke stadium walaupun mereka adalah ‘kuda tua’ yang hampir sampai ke penghujung karier di Eropah.

Kini bekas pengurus England, Sven Goran Eriksson dikatakan telah menerima tawaran untuk melatih sebuah kelab di Wilayah Yunnan. Beliau juga ditawarkan gaji mingguan yang sangat lumayan.

Sebelum ini bekas penyerang Chelsea dan Perancis, Nicolas Anelka, 32, telah menandatangani kontrak selama dua tahun dengan kelab Shanghai Shenhua Januari baru-baru ini. Dan dia telah pun mula menjaringkan gol dan menempa nama di sana.

Anelka ditawarkan gaji sehingga £6 juta setahun bersama kelab China itu - iaitu pendapatan dua kali ganda ketika dia bersama Chelsea sebelum ini.

Artikel Lain