suria

KPT Perluas Promosi APEL Mulai Bulan Depan

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi akan melancarkan dan mempromosi perkhidmatan Pengakreditan Pembelajaran Sepanjang Hayat (APEL) dengan lebih meluas mulai bulan depan, dalam usaha memperkasa konsep pembelajaran sepanjang hayat.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata APEL yang dibangunkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), menyediakan perkhidmatan penilaian dan pengesahan pembelajaran tidak formal yang dimiliki oleh individu berdasarkan kepada pengalaman kerja yang diceburi.

Beliau berkata perkhidmatan penilaian yang sudah mula beroperasi sejak September lepas itu dijayakan dengan kerjasama Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Universiti Wawasan Malaysia.

Katanya, pengesahan yang dikeluarkan APEL akan membolehkan individu terbabit mengenal pasti peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di samping mengenal pasti bidang yang sesuai untuk mereka ikuti, dan ketika ini ia tertumpu kepada kemasukan ke program pengajian peringkat ijazah Sarjana Muda.

Bercakap pada sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan Kementerian di sini pada Selasa Mohamed Khaled berkata menerusi pusat itu, pemohon yang berminat hanya perlu tampil untuk mengambil satu ujian khas dan membuat portfolio yang akan disahkan oleh APEL, bagi melihat kepada dua kelonggaran utama yang mungkin dapat ditawarkan, iaitu dari segi kemasukan dan pemindahan kredit.

Beliau berkata dari segi kemasukan, ia bermakna pusat berkenaan akan menilai sama ada pemohon boleh diterima masuk ke universiti, walaupun pemohon tidak mencapai kelayakan akademik minimum yang diperlukan, manakala dari segi pemindahan kredit, ia akan menilai dari segi tempoh pengajian yang mungkin boleh disingkatkan.

Kemasukan dalam program-program yang dikategori sebagai pembelajaran sepanjang hayat, dilihat meningkat daripada 220,000 orang pada tahun 2010 kepada 269,375 pada tahun lepas, yang membayangkan bahawa budaya pembelajaran itu mulai bertapak di kalangan rakyat, katanya.

Beliau berkata aspek Membudayakan Pembelajaran Sepanjang Hayat merupakan satu daripada lima Teras Strategik yang menjadi fokus dalam fasa kedua pelaksanaan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang disasarkan dalam tempoh antara 2011 dan 2015.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata lima teras itu terdiri daripada Meluaskan Akses dan meningkatkan Ekuiti, Menambah baik Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran, Meneguhkan Penyelidikan dan Inovasi, Mempergiatkan Pengantarabangsaan dan Membudayakan Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Mohamed Khaled berkata pengukuhan kedudukan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi akan membawa banyak manfaat khususnya dalam membina keyakinan penuntut asing untuk menyambung pengajian di instiusi pengajian tinggi dalam negara.

"Tahun 2011 mencatatkan jumlah 90,850 pelajar antarabangsa menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi Awam dan Swasta dalam negara, berbanding 86,919 pada tahun 2010," katanya dan menambah, kedatangan penuntut antarabangsa menghasilkan anggaran pendapatan negara melebihi RM2.7 bilion setahun. - BERNAMA

Artikel Lain