suria

KPDNKK Sita 20,000 DVD Cetak Rompak

GEORGE TOWN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang menyita 20,000 keping DVD cetak rompak dan enam alat menyalin bernilai kira-kira RM220,000.

Ketua Pegawai Penguatkuasa dan Timbalan Pengarah Negeri, Guna Selan Marian berkata, serbuan pada pukul 3.50 petang itu dilakukan sepasukan 10 pegawai penguatkuasa hasil daripada pemantauan selama dua minggu.

"Dalam serbuan itu, kami menahan dua orang lelaki berumur dalam lingkungan 50-an untuk siasatan lanjut di bawah Akta Hakcipta 1987," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Katanya, pesalah boleh dikenakan denda RM20,000 bagi setiap salinan pelanggaran atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Serbuan itu mendapati alat penyalin DVD telah diubah suai yang membolehkan kerja percetakan dalam kuantiti banyak serta beberapa DVD lucah yang dipercayai untuk pasaran Pulau Pinang. - BERNAMA

Artikel Lain