suria

Karpal Pertahan Tindakan

GEORGE TOWN: Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh mempertahankan tindakannya membantah keputusan Jawatankuasa Disiplin parti itu yang membebaskan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dr P.Ramasamy daripada tuduhan melanggar disiplin parti.

Karpal menegaskan beliau tidak menjejaskan imej parti sebaliknya, menjelaskan aduan yang dibuat adalah untuk kepentingan awam.

Beliau memberitahu The Star; " Panel sepatutnya berundur daripada kes itu dan membenarkan jawatankuasa baru ditubuhkan bagi mendengar kes tersebut. Ramasamy adalah salah seorang daripada panel itu.

"Bolehkah mereka mengadili sesama sendiri?Tidak!"," katanya.

Pada minggu lalu, Dr Ramasamy dibebaskan daripada tuduhan mengatur demonstrasi ke atas Karpal ketika konvensyen tahunan DAP Pulau Pinang, Disember lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa semua ahli supaya setia kepada prinsip bahawa setiap peluang perlu diberikan agar isu parti dapat diselesaikan secara dalaman.

"Prinsip ini perlu digunakan oleh semua ahli," katanya.

Lim berkata, beliau dan beberapa pemimpin lain akan cuba untuk bertemu Karpal bagi berbincang mengenai keputusan jawatankuasa tersebut.

"Saya merayu kepada Karpal untuk menggunakan saluran dalaman parti dalam menyuarakan kebimbangannya. Ia tidak patut dimaklumkan kepada umum. Ini bertujuan mengelak parti lawan mencetuskan salah tafsir," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Menurut beliau, ini adalah kali pertama Karpal sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP tidak membincangkan mengenai perkara itu dengannya.

Ketika dihubungi, Dr Ramasamy enggan memberikan sebarang komen.

Setiausaha Pengelola Kebangsaan MCA, Datuk Tee Siew Kiong berkata, hasrat jawatankuasa itu untuk menyelesaikan kemelut tersebut dikritik.

"Ini jelas menunjukkan DAP cuba menutup konflik dalaman parti supaya ia tidak menjejaskan peluang parti itu memenangi pilihan raya akan datang," katanya dalam satu kenyataan, Isnin. Di Kuala Lumpur, Pemuda MIC memuji tindakan Karpal yang mencabar keputusan jawatankuasa disiplin parti itu.

"Pendirian beliau jelas menunjukkan jawatankuasa disiplin parti mempunyai agenda tersembunyi dalam mengenakan tindakan ke atas mereka yang mengkritik kepimpinan parti," kata Ketua Pemuda MIC, T.Mohan.

Artikel Lain