suria

Jabatan Imigresen Johor Dalam Proses Hantar Pulang Bapa Dirang Ke Filipina

JOHOR BAHARU: Jabatan Imigresen Johor sedang dalam proses untuk menghantar pulang bapa kandung Nurul Nadirah Abdullah, kanak-kanak perempuan yang dibunuh dan dibakar, ke negara asalnya, di Filipina, secepat mungkin.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor, Masri Adul berkata pihaknya kini sedang merujuk dengan Kedutaan Filipina bagi mengeluarkan dokumen perjalanan lelaki berkenaan, Hendry Yongot, 35.

"Hendry diserahkan ke Bahagian Penguatkuasaan oleh pihak polis kira-kira pukul 2 petang semalam bagi tujuan pengusiran pulang ke negara asal. Kita sedang membuat permohonan kepada Kedutaan Filipina dan berharap segala prosedur berjalan dengan lancar," katanya kepada pemberita di pejabatnya, di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, Selasa.

Masri berkata buat masa ini lelaki berkenaan akan ditempatkan di Depoh Tahanan Sementara Pendatang Asing Tanpa Izin di Pekan Nenas, Pontian sementara menunggu dokumen perjalanan itu siap.

Sementara itu, Hendry yang turut ditemui di KDN berkata dia akur dengan keputusan pihak berkuasa untuk dihantar pulang kembali ke Filipina. Hendry yang berasal dari Sulu berkata dia memasuki Sabah pada tahun 1993 dan tidak pernah pulang ke kampung halamannya sejak itu.

Mengimbas kejadian yang menimpa Nurul Nadirah, Hendry yang ditemani ibu mentuanya, Milnah Jul, 52, dan anak lelakinya, Mohd Hafis Abdullah 6, berkata dia sesekali tidak akan memaafkan perbuatan kejam individu yang terlibat dan berharap anaknya menjadi mangsa terakhir pembunuhan seumpama itu.

Hendry yang menetap di Rawang, Selangor, berkata hubungannya dengan anak-anak dan bekas isterinya, Roselyn Alan, 25, amat baik walaupun mereka sudah berpisah sejak empat tahun lepas.

"Kali terakhir saya berhubung dengan arwah Nurul Nadirah adalah seminggu sebelum kehilangannya. Saya dimaklumkan kehilangannya dari bekas isteri pada petang kejadian dan tiba di Johor pada 8 Mac lepas sebelum ditahan polis bagi membantu siasatan," katanya.

Hendry dibebaskan polis selepas siasatan mendapati dia tidak terlibat dengan pembunuhan Nurul Nadirah, 5, yang ditemui mati dalam keadaan rentung terbakar dalam sebuah lubang di kawasan perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai, di sini, 8 Mac lalu.

Nurul Nadirah yang mesra dipanggil Dirang sebelum itu dilaporkan hilang pada 1 Mac ketika keluar membeli mee segera dan telur di sebuah kedai runcit di kawasan flat kediamannya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.

Berikutan kejadian itu, polis kini sedang menahan reman tiga individu termasuk seorang wanita sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan. -BERNAMA

Artikel Lain