suria

Hampir 72,000 Cek Bayaran Khas Sudah Sedia & Sedang Diagihkan

SEREMBAN: Hampir 72,000 keping cek bayaran khas RM3,000 kepada bekas anggota pasukan keselamatan yang pernah berkhidmat semasa zaman darurat, sudah disediakan dan sedang diagihkan kepada pemohon secara berperingkat.

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi berkata bagi memastikan agihan cek-cek tersebut berjalan lancar dan meluas, ia akan dilakukan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, Ibu Pejabat Polis Daerah dan balai-balai polis seluruh negara.

"Permohonan sudah dibuka sekarang dan semua bekas-bekas anggota keselamatan yang berkhidmat semasa zaman zarurat diminta untuk mendapatkan borang permohonan di balai-balai polis berhampiran.

"Bagi mereka yang sudah meninggal dunia, balu dan duda mereka boleh juga memohon dengan membawa akuan permohonan yang disahkan oleh ketua kampung atau ketua polis di balai berhampiran," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan cek Tabung Amanah Warisan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, di sini, Selasa.

Pada pembentangan belanjawan 2012 tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bayaran khas sebanyak RM3,000 kepada bekas anggota pasukan keselamatan yang pernah berkhidmat semasa zaman darurat antara tahun 1948 dan 1962 di Semenanjung dan 1962 hingga 1974 di Sabah dan Sarawak.

Anggota keselamatan tersebut terdiri daripada anggota "Home Guard, Special Constable, Extra Police Constable, Auxiliary Police, Women Auxiliary Police, Women Special Constable, Border Scout dan Jungle Scout".

Abdul Rahim berkata, proses pengagihan cek-cek bayaran akan dilakukan dengan bantuan pegawai dari kementerian dan juga pasukan polis sendiri dengan sebahagian besar pemohon dijangka menerima cek masing-masing menjelang sambutan Hari Polis 25 Mac ini.

"Kita bernasib baik kerana kita masih sempat untuk memberikan penghargaan kepada anggota keselamatan yang berkorban menjaga negara semasa zaman darurat.

"Kita tidak mahu melengah-lengahkan bayaran ini dan diharapkan menjelang sambutan Hari Polis 25 Mac ini sebahagian besar dari mereka sudah menerima cek masing-masing," katanya.

Pada majlis itu, Abdul Rahim turut menyampaikan cek bayaran khas tersebut kepada 19 anggota keselamatan yang berkhidmat semasa zaman darurat. - BERNAMA

Artikel Lain