suria

BN Giat Edar Risalah Tangkis Dakwaan Pembangkang - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) kini sedang giat berkempen mengedarkan risalah berhubung dasar-dasar kerajaan di seluruh negara bagi menangkis segala dakwaan pembangkang, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Katanya beliau telah mengarahkan semua ketua bahagian Umno mengedarkan risalah terbitan Bahagian Penerangan Umno bersama Biro Publisiti dan Penerangan Barisan Nasional (BN) itu di kawasan masing-masing bagi memastikan orang ramai mendapat penjelasan sebenar berbanding dakwaan pembangkang.

"BN buat masa ini menggunakan pelbagai bentuk media untuk memberi penjelasan kepada rakyat melalui ceramah, sesi perjumpaan antara pemimpin BN dengan penduduk, televisyen, radio, laman web dan sebagainya.

"Ia akan menerangkan mengenai dasar kerajaan yang dilaksanakan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (Prima) dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mengikuti anggota BN mengedarkan risalah di sekitar Kampung Baru, di sini, Selasa.

Ahmad berkata semua anggota BN juga perlu bekerja keras dalam kempen turun padang bertemu rakyat dan memberi penerangan yang lengkap kepada mereka bagi menangkis tohmahan pembangkang dan tidak hanya menunggu sehingga pilihan raya. Ditanya kenapa Kampung Baru dipilih untuk pengedaran risalah hari ini, beliau berkata ia adalah lokasi strategik kerana terletak di ibu kota dan kempen itu akan diteruskan di kawasan-kawasan lain dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, isi kandungan risalah berkenaan adalah berbeza mengikut kawasan seperti contoh sekiranya membabitkan kawasan peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) maka ia akan mengandungi penerangan lengkap mengenai penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia, katanya.

Ahmad berkata sesi turun padang dan pengedaran risalah berkenaan telah dilakukan oleh anggota BN di Kuantan, Pahang, beberapa bulan lepas dan risalah berkenaan memberi maklumat lengkap mengenai operasi kilang nadir bumi Lynas di sana.

Dalam pada itu, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan satu 'berita baik' dalam masa terdekat namun beliau tidak memberikan butirannya. -BERNAMA

Artikel Lain