suria

Beri Sokongan Padu Pada Calon BN Yang Dipilih - Shafie

PORT DICKSON: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata para anggota serta pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) mesti memberi sokongan penuh kepada calon yang dipilih bertanding pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Katanya persoalan yang lebih penting adalah memberi kerjasama dan sokongan padu kepada calon dipilih bagi memastikan kemenangan dua pertiga BN pada pilihan raya umum nanti. "Yang penting calon telah ditapis dan telah dipilih begitu rapi oleh pucuk pimpinan kita. Bila sampai waktunya kita beri sokongan sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Rakyat Permatang Pasir, Linggi, dekat sini pada Selasa.

Turut hadir anggota Exco Kerajaan Negeri Datuk Ismail Taib, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, dan ADUN Bagan Pinang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, yang juga Ketua Umno Bahagian Telok Kemang. Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, menasihatkan anggota parti supaya bekerja keras dan tidak berasa selesa dengan keadaan semasa bagi memastikan parti menang besar.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shafie, yang merupakan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, berkata Umno boleh kembali menawan Kedah asalkan anggota parti di negeri itu bersatu.

Mengulas peletakan jawatan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir sebagai anggota Umno semalam, beliau berkata ia tidak menjejaskan kekuatan Umno.

Menyifatkan hal keluar masuk parti suatu hal yang biasa berlaku, Mohd Shafie berkata: "Cuma saya kesal dia telah berkhidmat begitu lama dalam parti dan pernah menjawat pelbagai jawatan dalam parti dan pernah berkhidmat sebagai menteri. Saya berharap ahli-ahli Umno khasnya di kawasan Kulim Bandar Baharu berdiri teguh di belakang BN." -BERNAMA

Artikel Lain