suria

Belum Ada Kelulusan Cadangan Cukai Perkhidmatan Enam Peratus Talian Prabayar

KUALA LUMPUR: Cadangan cukai perkhidmatan enam peratus dikenakan kepada pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar masih belum diputuskan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu, Selasa.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang menegaskan bahawa kementerian tidak pernah memberi arahan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengeluarkan memo kepada pembekal perkhidmatan selular untuk melaksanakan cukai perkhidmatan tersebut.

"Penetapan bahawa caj cukai perkhidmatan ini memang ditangguh seperti diumumkan tahun lepas.

"Kementerian tidak tahu mengapa laporan itu menyebut demikian...yang sebenarnya memang tidak ada arahan dan tidak ada keputusan," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Saifudin Nasution Ismail (PKR-Machang).

Saifudin dalam soalannya meminta pengesahan kementerian berhubung laporan media mengenai nota Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research) yang menyebut SKMM telah mengeluarkan memo kepada semua syarikat telekomunikasi supaya bersedia secara teknikal terhadap pelaksanaan cukai perkhidmatan itu.

Pengerusi SKMM Datuk Mohamed Sharil Tarmizi turut mengeluarkan kenyataan menjelaskan tiada arahan seumpamanya dibuat mengenai isu berkenaan.

Salang berkata apabila ia melibatkan cukai perkhidmatan, rundingan perlu diadakan membabitkan kementerian, SKMM, pemberi perkhidmatan, Kementerian Kewangan dan Kastam Diraja Malaysia.

Beliau berkata rundingan perlu diadakan sama ada perkhidmatan telekomunikasi akan dimasukkan sebagai perkhidmatan utiliti.

"Kalau ya, maka tak adalah cukai. Setakat ini memang belum ada keputusan. Memo yang disebut itu, sebagaimana dinafikan Pengerusi SKMM, maka setakat itulah yang benar," katanya.

Menjawab soalan tambahan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) sama ada Telekom Malaysia bercadang mengkaji semula sewa bulanan talian telefon tetap, Salang berkata syarikat itu mengambil kira beberapa faktor dalam menetapkan kadar tarif berkaitan.

"Antaranya kos rangkaian domestik dan antarabangsa, kelajuan dan jumlah data yang dilanggan (perkhidmatan Internet). Kos domestik ini berkaitan kos pusat yang disediakan, kos kabel, peralatan ibu sawat... kementerian sentiasa memantau caj-caj pemberi perkhidmatan termasuk Telekom agar tidak keterlaluan," katanya.

Terdahulu, semasa menjawab soalan asal Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) sama ada kerajaan akan mengkaji semula bayaran perkhidmatan Internet berhubung talian yang disekat tetapi masih dikenakan bayaran, Salang berkata: "Kerajaan tidak mengawal selia kadar perkhidmatan mudah alih dan jalur lebar."

"Kawalan kadar perkhidmatan ini biasanya ditentukan oleh faktor pasaran, perlindungan pengguna dan ekonomi." - BERNAMA

Artikel Lain