suria

Trio Tidak Layak Buat Keputusan- Karpal

GEORGE TOWN: Kemelut Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Dr P.Ramasamy semakin meruncing apabila pemimpin veteran itu mencabar keputusan Jawatankuasa Disiplin DAP yang membebaskan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II daripada tuduhan melanggar disiplin parti.

Karpal berkata, empat ahli jawatankuasa yang diketuai oleh pengerusinya, Tan Kok Wan tidak layak membuat keputusan tersebut kerana Ramasamy juga adalah salah seorang daripada panel yang sama.

Katanya, ahli jawatankuasa itu termasuk Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Lim Hock Seng dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M.Kulasegaran perlu berundur daripada kes itu dan membenarkan jawatankuasa baru ditubuhkan bagi mendengar kes tersebut.

"Prosiding perlu mengelak abinitio (dari permulaan) dan tiga ahli jawatankuasa itu tida boleh menghakimi salah seorang daripada mereka.

"Benih pemusnahan sudah sedia ada di dalam panel, dalam bentuk keupayaan untuk menilai (salah seorang daripada mereka).

"Dalam kes ini, saya rasa ketiga-tiga mereka perlu berundur. Biarlah orang lain mendengar kes ini," katanya pada sidang media di sini, Ahad.

Kemelut di antara Karpal dan Dr Ramasamy yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP bermula sejak tahun lalu apabila beliau menamakan tiga calon parti itu untuk pilihan raya umum akan datang.

Karpal, bagaimanapun, tidak bersetuju dan menegaskan Dr Ramasamy tiada kuasa untuk bertindak sedemikian.

Namun, Dr Ramasamy memberikan reaksi balas bahawa parti itu boleh maju ke hadapan tanpa godfather.

Pada konvensyen tahunan DAP Pulau Pinang, Disember tahun lalu, sekumpulan individu mengadakan demonstrasi sebagai tanda sokongan kepada Dr Ramasamy.

Tindakan itu menyebabkan 33 ahli DAP membuat aduan kepada Jawatankuasa Disiplin parti terhadap beliau.

Pada Ahad, Karpal berkata dua pemimpin DAP Pulau Pinang, R.S.N. Rayer dan A.Thanasekaran, kedua-duanya peguam, sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan jawatankuasa itu kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) berhubung 31 aduan itu.

Rayer berkata, beliau dan Thanasekaran menerima mandat daripada 31 pengadu untuk meneruskan kes itu.

Karpal berkata, rayuan kepada CEC bukan jalan penyelesaian terakhir dan jika perlu, ia akan dibawa ke kongres parti tersebut untuk dibuat keputusan.

Artikel Lain