suria

PDRM Azam Beri Khidmat Bertaraf Dunia Kepada Rakyat - Ismail Omar

KUALA LUMPUR: Selaras dengan usia penubuhannya yang genap 205 tahun pada 25 Mac ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahu menyediakan perkhidmatan kepolisan bertaraf antarabangsa kepada masyarakat di negara ini.

Untuk itu, PDRM kini dalam proses menggubal satu dasar amalan baik kepolisan bagi memantapkan pasukan tersebut.

Berkongsi hasrat itu dengan Bernama di sini baru-baru ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata PDRM kini meneliti amalan kepolisan di New York dan Philadelphia di Amerika Syarikat serta Sweden, England, Hong Kong dan Singapura untuk dicontohi.

Dasar yang akan digubal meliputi semua aspek termasuk sumber manusia, logistik dan kewangan sebagai persediaan PDRM mencapai taraf itu, katanya ketika ditemui selepas melakukan aktiviti kepolisan berprofil tinggi di ibu kota.

Ismail berkata pada asasnya PDRM sudah mencapai tahap yang membanggakan apabila Malaysia diiktiraf sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara dan ke-19 di dunia seperti dilapor Indeks Keamanan Global (GPI) 2011.

Pencapaian itu susulan pelaksanaan langkah-langkah mengurangkan kadar jenayah yang merupakan antara Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010.

Sebelum pelaksanaan NKRA, Malaysia berada di tempat ke-37 pada 2008 dan jatuh ke tangga ke-38 pada tahun berikutnya sebelum berjaya membaiki kedudukan ke tangga 26 pada 2009 dan seterusnya ke-22 pada 2010.

Ismail berkata amalan kepolisan yang akan digubal itu antara lain memastikan pengurangan kadar jenayah yang lebih baik dan masa bertindak terhadap aduan yang lebih pantas serta pelbagai lagi.

"Kita perlu bergerak ke hadapan untuk perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat memandangkan pembangunan sudah bertambah," katanya.

Ismail berkata amalan baru itu akan memantapkan lagi tugas PDRM yang pada masa ini dibantu dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Strategi Lautan Biru yang diperkenal di bawah Program Transformasi Kerajaan.

Menerusi strategi itu, PDRM melaksanakan pengambilan rekrut daripada kalangan bekas anggota ATM, menggunakan dua pusat latihan tentera sebagai fasiliti untuk melatih rekrut baru PDRM serta rondaan bersama PDRM dan ATM terutamanya di dalam aspek pencegahan jenayah.

PDRM juga mengadakan kerjasama dengan pasukan sukarela seperti Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia untuk merekrut dan melatih mereka bagi menyertai Pasukan Sukarelawan Polis (PVR).

Ismail berkata transformasi itu membuahkan hasil dengan indeks jenayah keseluruhan mencatatkan penurunan sebanyak 11 peratus pada tahun lepas berbanding 2010, jauh melebihi sasaran lima peratus yang ditetapkan di bawah NKRA. - BERNAMA

Artikel Lain