suria

NFCorp Belum Bayar Balik Pinjaman - PAC

KUALA LUMPUR: National Feedlot Corporation (NFCorp) masih belum memulangkan ansuran pembayaran pinjaman dana awam bernilai RM250 juta bagi tujuan pembinaan projek Pusat Fidlot Nasional (PFN) yang mereka terima pada 2008.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa NFCorp sepatutnya mula membuat pembayaran pinjaman itu sejak Januari lalu.

"Belum...belum bayar lagi. Berdasarkan apa yang dimaklumkan, pembayaran masih belum dibuat. Sepatutnya pembayaran mula dibuat pada Januari tahun ini," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, Isnin.

Bagaimanapun menurut Azmi, kelewatan pembayaran balik pinjaman berkenaan mungkin disebabkan oleh masalah yang dihadapi NFCorp.

"Ya kita faham mereka perlu membuat pembayaran balik mengikut jadual tertentu. Tapi kelewatan berkenaan mungkin disebabkan oleh masalah yang dihadapi mereka pada ketika ini," katanya.

Sebelum ini Pengarah Eksekutif NFCorp, Wan Shahinur Izmir Salleh memberi jaminan bahawa syarikat berkenaan berupaya membayar balik perjanjian pinjaman antara mereka dengan kerajaan yang diwakili Kementerian Kewangan seperti yang ditandatangani pada Disember 2007.

Menurut NFCorp, mereka menerima pinjaman pertama berjumlah RM7 juta pada Januari 2008.

Pinjaman berskala besar itu perlu dibayar balik dalam tempoh 20 tahun dengan kadar faedah dua peratus setahun.

Sementara itu Azmi berkata, pihaknya juga dimaklumkan bahawa Kementerian Kewangan menerusi satu jawatankuasa khas telah mengeluarkan arahan pada 2009 bagi menangguhkan projek berekaan.

"PAC dimaklumkan bahawa projek ini ditangguhkan...sampai bila kami tak pasti. Tapi memang ada arahan supaya dikaji semula projek berkenaan pada 2009.

"Tapi sewaktu proses berkenaan (kaji semula) dijalankan, ada beberapa komitmen telah dibuat...jadi tak boleh ditarik balik.

"Contohnya anak lembu sudah ditempah...kita perlu bayar," katanya.

Dalam pada itu Azmi memaklumkan bahawa pengurusan NFCorp akan tampil memberi keterangan berhubung isu berkenaan pada Selasa.

Artikel Lain