suria

Kementerian Pengangkutan Disaran Guna Kaedah Canggih Kawal Had Laju Bas, Lori

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan disaran supaya menggunakan teknologi terkini yang boleh mengawal secara automatik kelajuan kenderaan khususnya bas ekspres dan lori muatan tinggi daripada pusat-pusat kawalan yang diwujudkan.

Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) berkata penggunaan teknologi canggih perlu sebagai langkah mengurangkan insiden kemalangan jiwa yang semakin meningkat di negara ini.

Beliau berkata penggunaan teknologi canggih dan moden seperti Sistem Penentududukan Global (GPS) dan Kawalan Penyeliaan dan Perolehan Data (SCADA) wajar diberi perhatian berikutan kemalangan maut yang berlaku hampir setiap hari.

Perisian SCADA yang menggunakan teknologi terkini boleh membantu meminimumkan kemalangan manakala GPS, selain boleh mengesan kedudukan bas persiaran dan ekspres, juga berguna untuk memantau kelajuan kenderaan berkenaan.

"Saya sarankan Kementerian Pengangkutan untuk menggunakan apa sahaja sistem termasuk SCADA yang boleh mengawal kelajuan bas dari jauh secara automatik oleh pusat-pusat kawalan yang ada di ibu negara atau bandar-bandar besar," katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin.

Idris berkata dalam menerapkan sifat berhemah di jalan raya, elemen kejuruteraan canggih sebagai langkah pemantauan amat penting selain pendidikan berterusan dan tindakan penguatkuasaan.

"Saya jamin tidak ada bas yang membawa 40 orang penumpang memandu ikut kelajuan yang dihadkan. Hasilnya di Genting Sempah, kematian 23 orang sekaligus, di Simpang Pulai 14 orang mati, di Simpang Ampat (Melaka), mati 17 orang.

"Kalau sudah berlaku (kemalangan) baru hendak siasat, semuanya sudah terlambat," katanya.

Idris berkata statistik kemalangan jalan raya di negara ini yang mencecah 14,000 kemalangan dengan 1,500 kematian setiap tahun sejak 2005 amat membimbangkan menunjukkan sikap pemandu negara ini tidak seiring dengan aspirasi negara untuk bergelar negara maju.

Katanya kadar kematian akibat kemalangan jalan raya yang mencatatkan 4.3 peratus bagi kemalangan membabitkan 10,000 kenderaan lebih tinggi berbanding piawaian di negara maju yang menetapkan dua kematian bagi setiap 10,000 kenderaan.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan 1.3 juta orang terbabit dalam kemalangan setiap tahun dengan 50 juta daripadanya mengalami kecederaan kekal atau kemalangan ringan, manakala 3,500 yang lain maut dalam lebih 100,000 kemalangan setiap hari, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain