suria

DAP Gugur Empat Anggota Parti Yang Dilantik Dr Ramasamy - Karpal

GEORGE TOWN: Pemimpin tertinggi DAP mengambil keputusan untuk menggugurkan empat anggota parti, yang dilantik oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Dr P. Ramasamy, daripada Lembaga Pembiayaan Hindu dan Lembaga Rayuan Negeri dalam masa terdekat.

Empat anggota parti itu termasuk K. Mangaleswari yang dipercayai merupakan calon-calon yang dilantik oleh Dr Ramasamy dalam kedua-dua lembaga berkenaan.

Tiga orang lain yang pula adalah penyokong Ramasamy dan mereka merupakan anggota biasa dalam parti itu.

Sambil mengesahkan perkara itu, Pengerusi DAP Karpal Singh berkata, isu berkenaan telah dibincangkan dalam satu mesyuarat dihadiri oleh beliau, Ramasamy, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng baru-baru ini.

"Saya tak boleh dan saya tidak tipu, tapi ia berlaku," katanya apabila diminta untuk mengesahkan perkara itu pada sidang akhbar di Jalan Delima, Gelugor di sini, Ahad.

Karpal berkata ini kerana kedua-dua lembaga itu adalah pertubuhan bertujuan menangani masalah kuil Hindu dan membantu masyarakat India.

"Oleh itu, ia tidak seharusnya mempunyai sebarang kaitan dengan politik," katanya.

Para pemimpin tertinggi DAP mengadakan satu mesyuarat baru-baru ini dan ia juga dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri, (ADUN) Bagan Dalam, A. Thanasekaran; ADUN Seri Delima, R.S.N. Rayer dan ADUN Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo.

Bagaimanapun, Karpal yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor menegaskan mesyuarat itu bukan satu perbincangan rahsia parti itu, tetapi ia diadakan bertujuan membincang dan menyelesaikan masalah dialami oleh DAP sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas Jawatankuasa Disiplin DAP memutuskan Ramasamy tidak melanggar disiplin parti pada Selasa lalu, Karpal berkata ketiga-tiga anggota jawatankuasa tersebut iaitu Pengerusinya, Tan Kok Wai, M. Kulasegaran dan Lim Hock Seng sepatutnya berundur diri.- BERNAMA

Artikel Lain