suria

Tempoh Rayuan Permohonan BR1M Dilanjutkan Hingga Akhir Bulan Ini - Husni

IPOH: Pemohon yang gagal menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) masih boleh membuat rayuan berikutan tempoh permohonannya dilanjutkan selewat-lewatnya akhir bulan ini, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata borang permohonan yang dibuat sebelum ini akan disemak semula bagi memastikan pemohon yang benar-benar layak tidak terlepas daripada menerima bantuan wang tunai RM500 itu.

"Sebelum ini kerajaan memutuskan 15 Mac sebagai tarikh akhir permohonan bagi individu yang tidak berjaya menerima bantuan. Kita akan terus membuat pertimbangan bagi memastikan setiap pemohon layak mendapat bantuan.

"Kita tak tetapkan tarikh akhir permohonan tapi saya berharap akhir bulan Mac ini majoritinya akan buat rayuan kerana bulan April nanti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai agensi yang memproses permohonan itu akan mula terlibat dalam kutipan cukai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis perasmian pecah tanah tapak Perpustakaan Desa Pekan Chemor di sini, Ahad.

Husni berkata melalui permohonan rayuan, 90 peratus daripada 200,000 pemohon berjaya menerima bantuan itu dan kegagalan pemohonan sebelum ini adalah berpunca daripada masalah teknikal.

Sementara itu, beliau berkata perpustakaan berkeluasan 2,643 kaki persegi itu adalah paling besar di antara 20 perpustakaan di kawasan Tambun.

Kerajaan persekutuan menyalurkan bantuan sebanyak RM716,000 untuk membina perpustakaan itu yang dijangka siap 20 Nov ini, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain