suria

Projek Penyeragaman Harga Liputi 90 Peratus Kawasan Pedalaman, Luar Bandar

KOTA KINABALU: Projek Penyeragaman Harga (PPH) yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sejak 2009, kini meliputi 90 peratus kawasan pedalaman dan luar bandar di seluruh negara.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Sarawak merupakan negeri paling banyak mempunyai kawasan PPH iaitu 485, diikuti Sabah (460) dan Semenanjung (77).

"Kebanyakan program diadakan di Sabah dan Sarawak kerana tujuan program ini adalah bagi mempastikan kawasan di pedalaman yang jauh dari bandar mendapat harga yang sama dengan di bandar besar berhampiran.

"Cuma ada sedikit kawasan yang tidak dapat, terutama di Sarawak di mana kawasan itu tidak boleh dihubungi langsung kerana tidak ada jalan, malah hanya boleh dihubungi menggunakan helikopter," katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Program Penyerahan Harga Barang Bersubsidi (Petrol dan Diesel) di Bongawan, Kimanis pada Ahad.

Beliau berkata melalui pelaksanaan projek penyeragaman harga petrol dan diesel, pengguna boleh membelinya daripada peruncit yang dilantik kerajaan pada harga sama dengan di stesen minyak.

Katanya, kementerian sentiasa memantau pelaksanaan program itu secara menyeluruh dan mendapat kerjasama pelbagai agensi seperi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi mengelak sebarang penyelewengan.- BERNAMA

Artikel Lain