suria

Nasib 76 Warga Asing Mangsa Dera Majikan Terbela

GEORGE TOWN: Kesemua 42 wanita warga Vietnam dan 34 lelaki warga Nepal yang diselamatkan daripada terus menjadi mangsa dera di sini akan dihantar ke pusat perlindungan sementara di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk memindahkan mereka dan buat sementara waktu, anggota polis diletakkan di dua lokasi iaitu di Jalan Tull dan Jalan Ismail Che Mat, di mana kesemua warga itu ditempatkan sejak 20 bulan lepas, bagi menjaga keselamatan mereka.

Siasatan awal mendapati ejen syarikat swasta terbabit mengingkari kontrak yang dipersetujui dengan bertindak memotong separuh dari gaji warga asing itu dan menggunakan kekerasan fizikal terhadap mereka, katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Manusia 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara makismum 15 tahun.

Lebih malang apabila kesemua yang berumur 30 hingga 50 tahun terpaksa mengikat perut sejak 21 Februari lepas kerana tidak dapat bekerja ekoran visa yang telah tamat tempoh.

Sementara itu, Penolong Pengarah (I) Jabatan Imigresen Negeri, Mustaffa Kamal Hanaffi berkata pihaknya sedang menjejaki ejen syarikat swasta terbabit dengan lokasi terakhir operasi mereka di Bayan Lepas. - BERNAMA

Artikel Lain