suria

Muzium Kapal Selam Bawa Manfaat Kepada Rakyat & Negara

MELAKA: Projek muzium kapal selam di Kompleks Pelancongan Klebang yang sebelum ini didakwa sebagai satu pembaziran oleh sesetengah pihak kini terbukti membawa manfaat kepada rakyat dan negara.

Kapal selam SMD Ouessant Agosta 70 bekas milik Tentera Laut Perancis yang menjadi ikon baru sektor pelancongan Melaka itu menarik 53,737 pelancong dalam dan luar negara sejak ia dibuka pada 1 Januari hingga 14 Mac lepas.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka Datuk Khamis Abas berkata angka itu dijangka meningkat kepada lebih 60,000 pengunjung pada sesi cuti persekolahan terakhir, Ahad dan disasarkan sekurang-kurangnya 500,000 pelawat menjelang akhir tahun 2012.

"Lawatan ke muzium ini juga telah dimasukkan dalam kalendar pelancongan dengan setakat ini kita menerima lebih 10,000 pelancong asing dan jumlah ini akan terus meningkat," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata alasan kos membawa pulang kapal selam SMD Ouessant Agosta 70 bekas milik Tentera Laut Perancis itu dari pangkalannya di Brest, Perancis ke Melaka yang menelan RM12.5 juta, sebenarnya tidak relevan.

Khamis berkata kapal selam penyerang diesel-elektrik yang menjadi platform latihan bawah permukaan air bagi krew-krew pelatih Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bermula pada 2005 hingga 2009 sebelum mengoperasikan kapal selam konvensional sebenar merupakan aset negara dan wajar dikongsi dengan rakyat negara ini.

Beliau berkata selain berperanan menyebarkan ilmu khususnya mengenai sejarah kapal selam, muzium itu juga mampu menyuburkan minat semua lapisan masyarakat untuk mengenali dan memahami sistem pertahanan negara.

"Bukan senang nak lihat, sentuh kapal selam dan melalui maklumat yang kita pamerkan di muzium ini, orang ramai boleh mengetahui kepayahan anggota TLDM menjalankan tugas di dalam kapal selam ini," katanya sambil menarik perhatian yang muzium tersebut merupakan yang kedua seumpamanya di Asia Tenggara selepas Monumen Kapal Selam Surabaya di Indonesia.

Beliau berkata pada masa ini, setiap pengunjung dikenakan caj RM1 yang digunakan bagi penyelenggaraan serta keperluan lain muzium itu dan caj tersebut akan dikaji semula selepas perancangan pembangunan kompleks pelancongan Klebang yang turut menempatkan model kapal Laksamana Cheng Ho dan Bahtera Mendam Berahi direalisasikan.

Projek pembangunan kompleks di kawasan seluas 4.05 hektar yang bakal menelan kos RM25 juta itu bergantung kepada peruntukan kerajaan pusat melalui Kementerian Pelancongan, katanya.

Bagaimanapun, Khamis berkata pihaknya mengharapkan peruntukan segera khusus bagi mengecat dan membina pintu masuk ke dalam kapal selam itu bagi memberikan kepuasan kepada pelawat.

Sementara itu, seorang pengunjung, Azhar Abdullah, 42, dari Pekan, Pahang menyifatkannya sebagai satu kerugian jika tidak melawat muzium berkenaan sekiranya berkunjung ke Melaka.

Beliau berkata rakyat negara ini harus berbangga dengan kewujudan muzium berkenaan kerana bukan semua negara mempunyai muzium seumpama itu.

"Muzium ini menarik, lain dari yang lain, baik untuk pengetahuan kita dan anak-anak," kata bapa kepada empat orang anak itu.

Kapal selam SMD Ouessant yang terkandung dalam pakej pembelian Kelas Perdana Menteri dibawa pulang oleh Kementerian Pertahanan bermula 9 Oktober 2011 sebelum tiba di perairan Melaka pada 12 November tahun lepas. Ia kemudian diserahkan kepada kerajaan negeri Melaka pada 4 Mac lepas untuk diabadikan sebagai muzium. - BERNAMA

Artikel Lain