Konsep Wasatiyyah Turut Diamalkan Agama Lain, Mampu Pupuk Perpaduan - Najib - Semasa | mStar

Konsep Wasatiyyah Turut Diamalkan Agama Lain, Mampu Pupuk Perpaduan - Najib

IPOH: Konsep kesederhanaan atau wasatiyyah yang diamalkan agama Islam adalah nilai sejagat yang turut dipraktikkan agama lain di negara ini, yang mampu dijadikan asas perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata konsep wasatiyyah itu turut dipraktikkan dalam ajaran Confucius iaitu Zong Yong, begitu juga dalam ajaran agama Buddha.

"Walaupun daripada segi akidah berbeza antara Islam dan bukan Islam, tapi kita ada banyak 'common values' (nilai sejagat) yang boleh mengukuhkan perpaduan nasional. Ini satu cara untuk menyatupadukan negara," katanya.

Najib ditemui semasa merasmikan bangunan baru empat tingkat bernilai RM9 juta Sekolah Jenis Kebangsaan Wan Hwa 2 di Menglembu di sini, hari ini.

Najib berkata Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mempunyai kepelbagaian yang unik, di mana ia mengamalkan cara hidup dan pentadbiran yang bertolak ansur dan mengambil kira aspirasi semua kaum.

"Kita pilih integrasi dan bukan disintegrasi daripada segi budaya dan kepelbagaian agama," katanya.

Najib berkata walaupun menghadapi pelbagai cabaran, 'Malaysian Way' (Cara Malaysia) mampu menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi dalam tempoh lapan tahun lagi, iaitu menjelang 2020.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 orang itu, Najib turut mengumumkan kerajaan negeri memberikan sebidang tanah seluas kira-kira satu hektar kepada sekolah itu, dan kerajaan pusat memberikan RM300,000 untuk pembinaan tempat letak kereta sekolah berkenaan.

Sementara itu, di majlis Mesra Rakyat di Kampung Kacang Putih Buntong di sini, Perdana Menteri berkata kerajaan mengamalkan pendekatan menangani masalah semua kaum di negara ini sebagai satu masalah biasa yang berbentuk universal.

Najib berkata pendekatan itu menambah keyakinan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Usaha kerajaan BN ini membangkitkan perasaan lebih mesra di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini, dan menanamkan semangat sayangkan negara yang semakin tebal, katanya pada majlis yang dihadiri hampir 7,000 orang.

Sebagai contoh, kata beliau kerajaan telah berusaha membasmi kemiskinan tanpa membezakan kaum dan kawasan, baik di bandar dan luar bandar.

Najib berkata: "Perjalanan bagi mentransformasi negara ke arah negara maju boleh menjadi kenyataan jika kita semua sepakat menjadi satu keluarga besar Malaysia. Kita akan berjaya kerana kita mempunyai kekuatan 1Malaysia."

Oleh yang demikian, katanya adalah sangat penting untuk rakyat mempunyai kepercayaan antara satu sama lain dan terhadap kerajaan BN.

Perdana Menteri juga menggesa supaya masyarakat India di Perak tidak 'tertipu' sekali lagi dengan pakatan pembangkang yang hanya pandai membuat janji kosong seperti yang terjadi kepada penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang.

Katanya kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Hal Ehwal Masyarakat India yang pada mulanya dipengerusikan oleh beliau sendiri kerana mahu melihat kaum itu membangun bersama-sama kaum yang lain.

"Ini kerana sebelum itu banyak masalah kaum India yang tidak dapat diselesaikan. Masyarakat India meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah mereka dengan pertimbangan yang lebih baik. Apabila ambil alih jawatan Perdana Menteri, saya kata di bawah langit Malaysia, semua kaum mendapat keadilan dan kesaksamaan," katanya.

Najib turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada kerajaan negeri Perak bagi menyediakan kemudahan asas untuk projek perumahan untuk 586 penduduk Buntong, selain tambahan RM1 juta kepada Tabung Pendidikan masyarakat India. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

Artikel Lain