suria

Khaled Nordin Ketuai PSC Mengenai Lynas

KUALA KANGSAR: Penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi meneliti berhubung isu berkaitan kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang akan diketuai oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin.

Lapan anggota lain terdiri daripada empat wakil dari Barisan Nasional, tiga daripada pembangkang dan seorang anggota bebas, menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.

"Saya akan mencadangkan senarai wakil BN kepada Speaker. Saya harap Ketua Pembangkang boleh menyerahkan nama wakil mereka pada pagi Isnin.

"Saya akan menghantar usul tersebut di Parlimen pada hari sama," katanya di Padang Rengas, Sabtu.

Nazri turut mengumumkan terma rujukan kepada anggota jawatankuasa untuk mengkaji reaksi balas rakyat berhubung projek tersebut bagi mendapatkan penjelasan daripada pelbagai pihak termasuk pihak berwajib agar langkah selanjutnya boleh dibawa ke Parlimen.

"Jawatankuasa itu mempunyai tempoh selama tiga bulan untuk merumuskan penemuan mereka berserta cadangan.

"Pada mulanya, kami memutuskan bahawa pelbagai parti perlu mencari penyelesaian masing-masing tetapi malangnya ia tidak akan membawa hasil di penghujungnya.

"Oleh itu, sudah tiba masanya untuk Parlimen memainkan peranannya," katanya.

Nazri berkata, beliau percaya cadangan setiap anggota jawatankuasa akan dipersetujui oleh pelbagai parti yang berdebat mengenai isu tersebut.

Di Ipoh, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penubuhan jawatankuasa itu merupakan proses penglibatan bersama dengan orang ramai bagi memastikan mereka memahami perkara itu.

"Ia perlu dilakukan melalui proses penglibatan dengan orang ramai dan bagi mereka (PSC) meneliti semua aspek projek itu terutama faktor keselamatan dan sebarang ancaman yang mungkin timbul kepada kesihatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru empat tingkat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Wan Hwa yang menelan kos RM9 juta, di sini.

Terdahulu, Najib menegaskan loji pembersihan nadir bumi bernilai RM700 juta di Kuantan adalah selamat dari segi “fakta dan saintifik”.

Kabinet bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa itu dalam mesyuaratnya pada Jumaat lalu.

Artikel Lain