suria

Tiada Pindaan MoU Mengenai Pengambilan & Penempatan Pembantu Rumah Indonesia - Maznah

MUADZAM SHAH: Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata tiada sebarang pindaan dilakukan terhadap memorandum persefahaman (MoU) mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia antara kerajaan Malaysia dan Indonesia setakat ini.

Beliau berkata Mou antara Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Tenaga Buruh Indonesia yang termaktub pada November lepas masih kekal.

"Namun sekiranya ada pindaan dilakukan, perkara berkenaan akan diumumkan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam," katanya kepada pemberita selepas penyerahan Kompleks Sukan Mini Muadzam Shah daripada Kementerian Belia dan Sukan kepada kementerian itu, di sini Jumaat.

Maznah mengulas laporan yang memetik Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usman berkenaan gaji minimun RM700 kepada pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Reyna juga dilapor berkata amah terbabit hanya akan melakukan satu tugas khusus sama ada sebagai tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua atau pengemas rumah.

Menurut Reyna lagi keputusan itu adalah antara persefahaman yang dicapai dalam pertemuan Pasukan Petugas Bersama Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia serta majikan Malaysia.

Mengulas lanjut, Maznah berkata kementeriannya tidak menerima sebarang usul rasmi dari kerajaan Indonesia berhubung permohonan gaji minimum RM700 kepada pembantu rumah mereka yang bekerja di negara ini.

"Apa yang kita telah MoU itu (sebelum ini) bahawa bayaran dan upahan adalah mengikut pasaran, telah termaktub dalam MoU bulan Disember yang kita tandatangani semula.

"Jadi selepas itu kalau ada banyak macam-macam (kenyataan) itu, biasalah, komen kiri dan kanan. Yang penting apa mesti dibuat melalui jawatankuasa task force dibawa ke jawatankuasa induk, selagi tak sampai pada kami (kementerian), tiada apa-apa perubahan," katanya.

Indonesia sebelum ini melaksanakan pembekuan sementara penghantaran amahnya ke Malaysia berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu negara itu oleh majikan Malaysia.

Pembekuan sementara itu ditarik balik pada 1 Dis lepas, susulan kesepakatan yang dicapai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dalam pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lepas.

Indonesia dijangka memulakan penghantaran amah ke negara ini mulai bulan depan. - BERNAMA

Artikel Lain