suria

Polis Pulau Pinang Bongkar Makmal Proses Heroin & Tahan Tiga Lelaki

BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah jenis heroin dan menahan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Budiman, di sini Khamis.

Menurut sumber polis, sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang menyerbu rumah teres berkenaan pada pukul 6.15 petang dan menahan tiga lelaki masing-masing berusia 34, 47 dan 58 tahun.

Ketika dihubungi di sini Jumaat, beliau berkata semasa diserbu, tiga lelaki terbabit sedang memproses dadah jenis heroin yang dipercayai untuk diedarkan di sekitar negeri ini.

"Polis turut merampas pelbagai jenis bahan kimia dan barangan untuk menghasilkan dadah jenis heroin. Jumlah dan nilai dadah yang dirampas masih belum diketahui," katanya.

Beliau berkata makmal dadah itu dipercayai beroperasi sejak beberapa bulan lepas dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan anggota sindiket.

Mereka dipercayai masih berada di sekitar negeri ini, katanya.

Kesemua lelaki terbabit kini direman selama seminggu bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain