suria

Peraturan Baru Amah Indonesia Perlu Dikaji Semula - AMK

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak kerajaan supaya memperincikan semula butiran perbincangan bersama kerajaan Indonesia termasuk mengkaji semula peraturan baru berkaitan isu pembantu rumah dari republik itu.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ini bertujuan agar rakyat khususnya golongan muda berpendapatan sederhana tidak terus tertindas dengan peraturan seumpama itu.

“Dasar ini mempunyai ruang yang besar untuk dipertikaikan. Ini kerana kadar RM700 untuk satu tugasan khusus, adalah jelas tidak berpatutan dengan pendapatan isi rumah khususnya golongan muda yang berpendapatan sederhana.

“Keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi di Malaysia mendesak suami dan isteri keluar bekerja bagi menjamin pendapatan isi rumah keluarga boleh menampung kos sara hidup harian. Justeru, khidmat pembantu rumah ini seakan menjadi satu keperluan khususnya bagi golongan muda berpendapatan sederhana,” katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.

Beliau mengulas mengenai peraturan terbaharu berhubung kadar gaji minimum pembantu rumah daripada Indonesia seperti yang dilaporkan media.

Peraturan itu antara lain menetapkan seorang pembantu rumah Indonesia yang dilatih khusus perlu dibayar dengan gaji minimum RM700 sebulan untuk satu tugas khusus sama ada tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua atau pengemas rumah.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usma, yang turut menyatakan bahawa satu persetujuan dicapai dalam pertemuan Pasukan Petugas Bersama (JTF) Malaysia-Indonesia berhubung hal berkenaan.

Shamsul Iskandar berkata, sesuatu yang meragukan bagaimana JTF yang ditubuhkan itu tidak mengambil kira maklumat-maklumat asas mengenai pendapatan isi rumah majoriti masyarakat di Malaysia dan bandar-bandar utama seluruh negara.

“AMK melihat ini berlaku atas kegagalan kerajaan untuk melihat isu dan permasalahan sebenar sehingga membawa kepada konotasi yang salah dalam rundingan yang telah dilangsungkan dengan kerajaan Indonesia.

“Justeru, AMK melihat wujud keperluan mendesak kerajaan memperincikan semula butiran perbincangan yang dilakukan dengan kerajaan Indonesia,” katanya lagi.

Artikel Lain