suria

Lupakan Pembantu Rumah Indonesia, Cari Yang Lain - Majikan

PETALING JAYA: Tidak masuk akal. Lupakan sahaja Indonesia!

Begitulah seruan sebahagian majikan yang kecewa dengan perubahan situasi pekerja domestik dengan negara republik itu.

Terbaru, apabila kumpulan pertama seramai 106 pembantu rumah Indonesia yang akan dihantar ke negara ini hanya boleh melakukan satu tugas untuk majikan mereka.

Berita yang amat mengejutkan itu dari Jakarta selepas para majikan dan persatuan menyertai satu rundingan akhir dengan negara republik itu mengenai pekerja domestik.

“Ia tidak masuk akal. Sama ada kita mengubah cara hidup kita tanpa mereka (pembantu rumah) atau kita mendapatkan khidmat dari negara-negara lain,” kata Presiden Persatuan Majikan Pembantu Rumah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein memberitahu The Star pada Jumaat.

Laporan pada Jumaat memberitahu kumpulan pertama pembantu rumah Indonesia akan dilatih dengan kemahiran masing-masing iaitu tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua dan pengemas rumah, di mana mereka hanya melakukan satu tugas sahaja untuk majikan di negara ini.

Mereka akan menjalani latihan kemahiran selama 21 hari dan akan dibayar sekurang-kurangnya RM700 sebulan oleh majikan di Malaysia.

Ia merupakan hasil yang dicapai pada pertemuan Pasukan Petugas Bersama (JTF) Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indnonesia serta majikan Malaysia di Jakarta pada Khamis.

Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Dr Reyna Usman berkata, kesepakatan dalam soal jawatan khusus itu diharap dapat mengelakkan masalah seperti yang telah berlaku di masa lalu.

Engku Ahmad Fauzi meluahkan kekecewaannya, sambil mempersoalkan relevan ia dilakukan sedemikian dan menjelaskan, para majikan kecewa bagaimana rundingan itu dikendalikan sebegitu rupa.

“Keputusan itu hanya menambah kekecewaan kepada keluarga yang menunggu lama untuk mendapatkan bantuan pekerja domestik.

“Jika kita mahu mendapatkan khidmat mereka untuk memasak, mengemas dan menjaga kanak-kanak, adakah kita perlu menggaji tiga pembantu rumah?” soalnya.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap), Datuk Raja Zulkepley Dahalan menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang melampau.

Pemangku Persatuan Agensi Pembantu Rumah (Papa), Jeffry Foo berkata, gaji RM700 sebulan yang lebih tinggi tidak logik bagi pembantu rumah yang melakukan tugas yang sedikit.

“Saya pasti terdapat ramai pembantu rumah yang bersetuju untuk melakukan pelbagai tugas sebagaimana mereka dilatih untuk berbuat demikian,” katanya.

Artikel Lain