suria

Tertuduh Kes Dadah Menangis Selepas Dibebaskan

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu yang berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati kerana didakwa mengedar dadah, menangis teresak-esak selepas mendengar keputusan Mahkamah Tinggi di sini Jumaat yang melepaskan dan membebaskannya.

M.Gopi, 40, yang berada di dalam kandang tertuduh, terpaksa ditenangkan anggota keluarganya dengan kesemua mereka dilihat berpelukan.

Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Ghazali berkata, timbul persoalan dan keraguan mengenai urusan membeli dadah kerana mengikut keterangan saksi pendakwaan, Gopi telah membawa pembeli (polis yang menyamar) ke kereta yang menyimpan dadah tanpa melihat wang terlebih dahulu.

Bagaimanapun, menurut Gopi, ketika kejadian, dia dibawa ke kereta oleh anggota polis tanpa mengetahui kehadiran dadah tersebut.

"Saksi pendakwaan kata tertuduh tidak mahu melihat wang tersebut dahulu kerana percaya kepada beliau. Persoalannya adakah wang dibawa ke tempat kejadian atau tidak?," kata Ghazali dalam penghakimannya.

Menurut Ghazali lagi, pendakwaan juga tidak mengemukakan saksi bagi membuktikan terdapat pengeluaran wang oleh pihak polis bagi urusan pembelian dadah dan tiada saksi dipanggil untuk menjelaskan kehadiran dadah di dalam bonet sebuah kereta yang didaftar atas nama 'Amir'.

"Saya bersetuju dengan peguam tertuduh bahawa dalam urusan pembelian dadah, wang akan dilihat dahulu. Ini satu transaksi haram dan wang adalah penting bagi tertuduh," katanya.

Gopi didakwa mengedar dadah jenis Monoacetylmorphine seberat 57.1 gram di dalam bonet sebuah kereta di tempat letak kereta belakang restoran Secret Recipe, Taman Melati di sini pada 10.30 malam, 13 Julai 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 10 saksi manakala di peringkat pembelaan hanya Gopi memberi keterangan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiz Mohd Yusoff manakala Gopi diwakili peguam V. Saravanan. - BERNAMA

Artikel Lain