suria

Polis Kenal Pasti 15 Suspek Serang Syarikat Elektronik

GEORGE TOWN: Polis yakin dapat menahan 15 lelaki yang dipercayai terbabit merusuh sebuah syarikat elektronik di kawasan perindustrian Bayan Lepas di sini petang Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Lai Fah Hin berkata hasil siasatan awal, polis telah mengenal pasti identiti kesemua suspek terbabit dan yakin dapat menahan mereka tidak lama lagi.

Pada kejadian pukul 2.15 petang Khamis, 15 lelaki tempatan bersenjatakan parang dan tukul besi memecahkan sebahagian cermin hadapan bangunan syarikat dan merosakkan 16 kenderaan termasuk milik pengurus syarikat berkenaan.

Bagaimanapun semua pekerja dalam bangunan kilang itu selamat dan mereka tidak berani mengambil sebarang tindakan ekoran serangan mengejut secara berkumpulan oleh 15 lelaki terbabit.

"Suspek datang dari luar Pulau Pinang dan kini polis sedang menjejaki mereka," katanya ketika ditemui pemberita dalam program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Pelanggan di sini Jumaat.

Lai berkata hasil siasatan juga mendapati serangan berpunca akibat perselisihan faham berkaitan perniagaan dan dendam.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh, yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain