suria

Pencawang Utama TNB Terbakar, 18,000 Pengguna Terputus Bekalan

GEORGE TOWN: Lebih 18,800 penduduk di kawasan Air Itam, di sini terputus bekalan elektrik akibat kebakaran yang berlaku di Pencawang Utama Tenaga Nasional Berhad (TNB) Paya Terbong, di Jalan Thein Teik di sini Khamis.

Ketua Jurutera TNB Pulau Pinang Ismail Lathifi Teh berkata kebakaran yang berlaku pada pukul 12.35 tengah hari itu mengakibatkan perkakas suis utama pencawang berkenaan rosak.

Katanya kawasan yang terputus bekalan elektrik akibat kebakaran itu ialah Pekan Air Itam, Kampung Melayu, Kampung Pisang, Bandar Baru dan Paya Terubong.

"Bagaimanapun sehingga pukul 2.15 petang ini, bekalan elektrik lebih 50 peratus ke kawasan terlibat berjaya dipulihkan secara berperingkat.

"Sebahagian lagi kawasan terutama di Farlim dan Paya Terubung, bekalan elektrik dijangka pulih sepenuhnya selewat-lewatnya pukul 8 malam ini," katanya ketika dihubungi di sini Khamis.

Ismail berkata kerja membaik pulih kerosakan akibat kebakaran berkenaan sedang dijalankan oleh bahagian perantaraan Ibu Pejabat TNB Bukit Mertajam.

"Kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan... punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong Ambrasan Jasminer berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.41 tengah hari dan tiba di tempat kejadian seminit kemudian.

Katanya pihaknya mengambil masa lima minit untuk memadamkan kebakaran dengan menggunakan serbuk kering dan kebakaran dapat dikawal dalam masa sejam.

"Secara kasar kita dapati kebakaran itu di tempat suis utama dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Seorang mangsa Jane Teh, 27, pembuat kek, berkata bekalan di rumah kedainya di Jalan Taman Cantik, terputus pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

Katanya dia terpaksa menghentikan proses membuat kek itu kerana proses itu menggunakan ketuhar elektrik dan menyebabkan proses menyiapkan tempahan kek pelanggan tergendala.

Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera, Datuk Lee Kah Choon berkata perkhidmatan sistem kereta api Bukit Bendera tidak tergendala walaupun bekalan elektrik putus.

Beliau berkata pihaknya menggunakan penjana elektrik sendiri untuk menyambung balik perkhidmatan kereta api sejurus putusnya bekalan elektrik.

"Kekerapan perkhidmatan keretapi itu terpaksa diperlahankan supaya dapat mengurangkan penggunaan bekalan elektrik," katanya.

Bekalan elektrik kembali pulih pada pukul 2.15 petang, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain