suria

MB Selangor Minta Pandangan Pengendali Bekalan Air Antarabangsa

SHAH ALAM: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengadakan perjumpaan dengan pengendali air antarabangsa dari Perancis dan United Kingdom (UK) untuk mendapatkan padangan mereka tentang kecekapan pengurusan air bagi mewujudkan model penstrukturan semula bekalan air di Selangor.

Abdul Khalid berkata kedua-dua pengendali itu, Suez Environment dari Perancis dan Wessex Water dari UK, menyuarakan kesediaan mereka untuk berkongsi kepakaran dalam pengurusan air bagi memastikan model yang akan digunakan Selangor bukan saja cekap dan berkesan, tetapi juga menawarkan tarif yang berdaya saing.

"Kebuntuan dalam rundingan negeri ini untuk mengambil alih industri perkhidmatan air daripada pemegang konsesi seperti yang tuntut oleh Akta Perkhidmatan Air 2006, tidak seharusnya menyekat negeri ini daripada membuat persiapan yang relevan.

"Model penswastaan yang ada sekarang tidak membawa sebarang penambahbaikan kepada industri, yang kini dilanda pelbagai masalah, termasuk sistem perancangan dan pengurusan air yang tidak bersifat holistik, struktur kawal selia yang tidak berkesan, operasi yang tidak cekap dan jumlah air bukan hasil yang tinggi kadarnya.

"Oleh itu, kami gembira apabila pakar berkenaan bersedia berkongsi pengetahuan teknologi mereka dengan kami," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut tarikh pertemuan itu diadakan.

Abdul Khalid berkata pertemuan dengan Suez Environment berlangsung di Marseille, Perancis, yang diketuai naib presiden eksekutif kanan penyelidikan penyelarasan air dan pembangunannya Bernard Guirkinger.

Di London, beliau mengadakan pertemuan dengan pengerusi eksekutif Wessex Colin Skellett dan Dave Elliott, pengarah perancangan dan pengurusan asetnya, untuk berbincang tentang pentingnya pengurusan air dibuat secara holistik.

Abdul Khalid berkata sebarang kerjasama dua hala antara dua pengendali air antarabanagsa itu akan mengikut proses yang telus dan bertanggungjawab untuk memastikan wujudnya perkhidmatan yang sepadan dengan nilai wang. - BERNAMA

Artikel Lain