suria

Anggota MCA Sabotaj Calon BN Akan Digantung Atau Dipecat - Dr Chua

KUALA LUMPUR: Anggota MCA yang didapati mensabotaj calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang berdepan dengan tindakan tatatertib yang keras termasuk digantung atau dipecat daripada parti.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata keputusan itu dicapai sebulat suara oleh pucuk pimpinan parti tersebut pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat pada Jumaat.

"Ini adalah penting supaya ahli-ahli MCA sentiasa sokong calon BN termasuk pemimpin-pemimpin yang tidak dicalonkan kerana kesetiaan kepada parti dan semangat setia kawan adalah penting.

"Jadi tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana ahli yang menjadi pengkhianat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu, di sini.

Katanya jika terdapat bukti kukuh dan sahih, anggota MCA yang terbabit dengan perbuatan tersebut akan dirujuk kepada lembaga disiplin parti bagi tindakan lanjut.

Selain itu, Dr Chua berkata mesyuarat hari ini juga membincangkan isu kekurangan guru bahasa Mandarin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang perlu diselesaikan segera.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) amat prihatin dengan isu itu dan telah menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong untuk menangani isu itu dengan segera dan efektif," katanya.

Dr Chua berkata MCA merakamkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas penubuhan jawatankuasa khas tersebut yang jelas menunjukkan komitmen B Nuntuk menyelesaikan masalah itu.

Jawatankuasa itu katanya sedang berusaha mendapatkan input daripada pihak yang berkepentingan dan setakat ini perkembangannya amat menggalakkan.

Beliau turut menyokong cadangan Jemaah Menteri untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memperhalusi isu-isu berkaitan pelaksanaan kilang memproses nadir bumi Lynas Corporation di Gebeng, Kuantan, Pahang. - BERNAMA

Artikel Lain