suria

Wakil Rakyat BN-PAS Bertelagah Isu Tomyam Tapi Kemudian Berpelukan Di Luar Dewan

KUALA LUMPUR: Penghujung sesi perbahasan persidangan Dewan Rakyat pada Khamis menjadi gamat apabila wakil rakyat pembangkang dan kerajaan bertelagah mengenai isu tomyam apabila kenyataan yang dikeluarkan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) diputar belit oleh Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian).

Ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tajuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan PAS Kelantan gagal mewujudkan peluang pekerjaan di negeri berkenaan hingga menyebabkan ramai peniaga dari negeri tersebut berhijrah membuka perniagaan di Perak termasuk di kalangan peniaga tomyam.

"Berapa ramai orang Kelantan yang datang ke Perak berniaga...jual tomyam.

"Mereka tak boleh buat (tiada peluang berniaga) di Kelantan," katanya.

Bagaimanapun kenyataan Tajuddin itu disalah tafsir oleh Salahuddin dan menuduh Ahli Parlimen Pasir Salak berkenaan menghina peniaga tomyam.

"Jangan hina orang Melayu berniaga tomyam, harta mereka halal...jangan hina orang Kelantan," tuduh Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS.

Kejadian bertikam lidah kedua-dua wakil rakyat berkenaan makin tegang apabila Salahuddin mengaitkan isu peniaga tomyam itu dengan perkahwinan anak Tajuddin sebelum ini.

Berang dengan tuduhan bersifat peribadi tersebut, Tajuddin kemudiannya mencabar Salahuddin membuat kenyataan tersebut di luar dewan.

"Mengapa membuat tuduhan peribadi. Ingat anak saya tidak ada maruah ke, isteri saya tidak ada maruah ke. Saya kata disebabkan kerajaan PAS gagal menyediakan peluang perniagaan, ramai di kalangan rakyat mereka termasuk peniaga tomyam terpaksa berhijrah...itu sahaja. Bila masa saya hina peniaga tomyam," kata Tajuddin.

Tidak menghiraukan penjelasan berkenaan, Salahuddin terus menuduh Tajuddin menghina peniaga tomyam dalam kenyataan asalnya sebelum ini.

Drama kekecohan berkenaan berlanjutan selama lebih 10 minit dan kedua-dua wakil rakyat berkenaan tidak mengendahkan arahan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee agar bertenang.

Tidak lama selepas itu, di luar dewan, kedua-dua ahli parlimen berkenaan dilihat berdakapan malah Salahuddin datang memeluk Tajuddin dan menciumnya di pipi sebagai tanda 'pertelagahan' mereka sudah berakhir.

Artikel Lain