suria

SPR Cadang Rakyat Malaysia Luar Negara Undi Pos - Ongkili

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan agar rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara dibenarkan mengundi pada pilihan raya menggunakan kaedah pengundian pos.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi penambahbaikan sistem pilihan raya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, cadangan berkenaan masih belum dimuktamatkan jawatankuasa berkenaan.

"Bagi pengundi luar negara, SPR mencadangkan bahawa ia boleh dilaksanakan melalui kaedah undi pos.

"Namun ada sesetengah ahli katakan ia akan berlaku pertambahan undi pos sebab sebelum ini kita cuba untuk kurangkan jumlah undi pos. Jadi ia mungkin tak konsisten dengan pendirian kita sebelum ini.

"Bagaimanapun kita akan bincang lagi. Walaupun kita mahu kurang jumlah undi pos, tapi sesetengah kes seperti ini mungkin tak dapat nak elakkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat selama lebih tiga jam jawatankuasa berkenaan di bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Menurut Ongkili lagi, perkara berkenaan akan dipertimbangkan pada mesyuarat PSC akan datang yang akan diadakan pada Selasa depan.

"Kita mugkin akan pertimbangkan keputusannya minggu depan termasuk syarat dan peraturan...tapi kita akan permudahkannya, mungkin hanya kenakan satu atau dua syarat." katanya.

Sebelum ini hanya penjawat awam dan pelajar yang belajar di luar negara sahaja dibenarkan mengundi sebagai pengundi pos.

Bagaimanapun menurut Ongkili, kaedah undi pos bagi semua rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara mustahil dilaksanakan sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

"Ia mungkin mustahil dilaksanakan jika pilihan raya diadakan sangat dekat kerana kita perlu ubah peraturan dan undang-undang.

"Mereka (SPR) masih kaji dari segi kaedah undang-undang mengenai kaedah ini," katanya.

Artikel Lain