suria

SPAD Diminta Timbang Lesen Khas Duta Teksi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) mempertimbangkan pemberian lesen teksi pelancongan kepada pemandu teksi yang memberikan perkhidmatan cemerlang sebagai duta teksi.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata dengan pemberian lesen berkenaan, duta teksi tersebut dapat memperkenalkan pusat-pusat pelancongan di seluruh negara kepada pelancong asing dan tidak terbatas hanya di Lembah Klang.

"Buat masa ini hanya pemandu teksi eksekutif sahaja yang boleh membawa penumpang termasuk pelancong asing ke mana-mana destinasi di seluruh negara dan teksi bajet tidak dibenarkan berbuat demikian. "Misalnya jika seseorang pelancong ingin ke negeri lain dari Kuala Lumpur, mereka hanya boleh menggunakan perkhidmatan teksi eksekutif dan ini tidak adil kepada teksi bajet yang dihadkan operasi mereka di sekitar Lembah Klang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Duta Teksi Pelancongan di Pusat Pelancongan Malaysia di sini, Khamis.

Bagaimanapun, katanya lesen teksi pelancongan itu hanya perlu dikeluarkan kepada pemandu teksi bajet yang menjalankan tugas sebagai duta teksi secara cemerlang bagi menggelakkan lesen itu disalahgunakan. "Justeru kita harap cadangan ini dapat dipertimbangkan dan diluluskan atau duta teksi yang terpilih dapat kebenaran berupa pas harian untuk membawa pelancong mengenali pusat pelancongan," katanya.

Terdahulu, beliau melancarkan program Duta Teksi Pelancongan itu dengan menyaksikan pelantikan seramai 4,000 pemandu teksi di sekitar Lembah Klang dalam usaha mewujudkan perkhidmatan teksi terbaik dan mesra kepada para penumpang terutamanya pelancong asing.

Program itu melibatkan 3,000 pemandu teksi bajet, 500 pemandu teksi limosin dan 500 pemandu teksi eksekutif dari sekitar Lembah Klang yang mana tempoh pelantikan mereka adalah selama enam bulan dan akan dilanjutkan sekiranya mereka menunjukkan prestasi cemerlang.

Kursus selama sehari turut akan diadakan secara berperingkat-peringkat untuk semua pemandu yang terpilih bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka mengenai produk pelancongan negara serta etika dan tatacara sebagai pemandu teksi yang berhemah.

Beliau berkata duta teksi akan menerima elaun sebanyak RM100 setiap bulan sepanjang tempoh mereka menjadi duta dan mereka turut menerima RM100 sebagai elaun hilang mata pencarian bagi yang menyertai kursus sehari.

"Duta-duta teksi ini akan beroperasi di lokasi-lokasi tumpuan para pelancong seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal Tambang Murah (LCCT), Stesen Sentral Kuala Lumpur, Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan seumpamanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang tahun lepas, sebanyak 2,467 aduan terhadap pemandu teksi, teksi mewah dan limosin serta kereta sewa diterima oleh SPAD.

Katanya, antara aduan yang tertinggi diterima terhadap pemandu teksi adalah tentang tata kelakuan pemandu termasuk memandu secara berbahaya sebanyak 1,146 aduan, tidak menggunakan meter (567 aduan) dan menggenakan tambang lebih (320 aduan).

Beliau berkata kesalahan lain termasuk enggan mengambil penumpang, gagal menhantar penumpang ke destinasi yang dipersetujui, meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan, tidak memakai uniform dan mengubah suai meter teksi termasuk menjadikannya lebih laju laju. -BERNAMA

Artikel Lain