suria

Rundingan Air Selangor Masih Buntu - Chin

KUALA LUMPUR: Rundingan air antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor akan terus mengalami kebuntuan sekiranya kerajaan negeri berkenaan tidak bersedia untuk mengasingkan isu urusan penstrukturan semula bekalan air negeri daripada pembinaan loji rawatan air Langat 2, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin.

Beliau berkata kerajaan negeri Selangor perlu mengasingkan isu penstrukturan semula bekalan air negeri daripada projek loji rawatan air Langat 2 kerana ia dua perkara yang sama sekali berbeza.

"Kerajaan Selangor tidak seharusnya mengaitkan kelulusan untuk membina loji rawatan air Langat 2 dengan urusan penstrukturan semula bekalan air negeri yang sedang dirundingkan dengan Kerajaan Persekutuan.

"Langat 2 adalah perkara lain. Ia sebuah projek prasarana yang perlu dilaksanakan. Ia bukan suatu perjanjian komersial. Sekiranya (Selangor ) membenarkan Langat 2 dibina, siapa yang akan mengendalikannya, boleh dirundingkan kemudian. Ini tidak menjadi isu," katanya dalam wawancara dengan Bernama di sini, Khamis.

Loji rawatan air Langat 2 adalah sebahagian daripada Projek Pemindahan Air Mentah yang akan merawat 1.89 bilion liter air mentah untuk disalurkan ke Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya hingga 2025.

Projek ini juga melibatkan pembinaan terowong sepanjang 44.6km, yang terbesar dan terpanjang di Asia Tenggara, untuk menyalurkan air dari Sungai Semantan di Pahang ke Sungai Hulu Langat di Selangor melalui Banjaran Titiwangsa.

Bagaimanapun, projek ini tertangguh apabila Kerajaan negeri Selangor, melalui majlis tempatannya, enggan meluluskan arahan pembangunan (DO).

Kerajaan negeri itu kemudiannya menafikan akan berlaku kekurangan air air dan berkata bekalannya mencukupi hingga 2019.

Chin berkata sekiranya Kerajaan Selangor terus enggan mengasingkan dua isu itu, kesannya akan ditanggung lebih sejuta penduduk di Lembah Klang apabila berlaku kekurangan teruk bekalan air pada 2017.

"Tiga projek tebatan yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan sekarang akan hanya dapat menyara bekalan air untuk kita hingga 2017, tiga tahun lebih lama daripada jangkaan awal berlakunya kekurangan bekalan pada 2014," katanya.

Kerajaan Persekutuan mencadangkan pelaksanaan projek tebatan berharga RM275 juta, yang dibahagikan kepada tiga fasa, untuk mengelak berlakunya krisis air yang teruk di Lembah Klang pada 2014 akibat kelewatan pelaksanaan projek rawatan air Langat 2.

Di bawah fasa pertama, pengaliran masuk air di Sungai Selangor akan ditambah, paip lama digantikan untuk mengurangkan pengaliran air tanpa hasil dan menaik taraf sistem mengepam air di kepala air Sungai Bernam.

Melalui langkah ini, sekurang-kurangnya 260 juta liter air mentah sehari dapat dimasukkan ke dalam sistem.

Di bawah fasa dua pula, 250 juta liter air mentah sehari boleh dimasukkan ke dalam sistem menjelang 2014, manakala usaha sedang dibuat untuk memindahkan sejumlah air mentah dari Sungai Selangor melalui satu saluran paip baru ke kebanyakan tempat yang memerlukan bekalan.

"Kami juga merancang untuk memindahkan air dari Rasa, Negeri Sembilan ke kawasan yang memerlukannya di Selangor kerana loji rawatan air yang beroperasi di Sungai Semenyih sudah terlebih beban sebanyak 40 peratus. Semoga, melalui fasa kedua, kami boleh menambah sejumlah 481 juta liter air sehari untuk memenuhi permintaan tambahan yang hanya mampu bertahan hingga 2017," katanya.

Chin berkata gangguan air yang berlaku semalam dan hari ini berpunca daripada kerja penyenggaraan berjadual di loji rawatan air Fasa 1 Sungai Selangor dan ini merupakan bayangan masalah sebenar yang akan berlaku pada 2017 sekiranya projek Langat 2 tidak dilaksanakan.

Kira-kira sejuta pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur yang mendiami 153 kawasan di Hulu Selangor, Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam dan Kuala Langat terjejas oleh gangguan bekalan air selama 72 jam itu.

"Oleh itu, kami harap, tahun ini, isu berkenaan dapat diselesaikan kerana kami memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun untuk membina loji itu dan menyiapkan projek ini. Saya akui beliau (Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim ) ada kuasa. Ini ibarat perlawanan bola sepak.

"Sekarang, bola di berada kawasannya. Saya ada terbaca bahawa Selangor berkata mereka tidak mahu Langat 2 kerana ia terlalu mahal.

"Tapi, soalan saya ialah apakah alternatifnya? Kos RM275 juta itu hanyalah bagi projek tebatan, yang lebih merupakan pengganti sementara hingga 2017. Apa yang akan terjadi selepas itu? Saya serahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain