suria

RM3.26 Juta Untuk Naik Taraf Jalan Di Pantai Dalam

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM3.26 juta diperuntukkan untuk kerja menaik taraf dan pelebaran Jalan Pantai Permai di kawasan Pantai Dalam di sini, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan projek pelebaran jalan itu yang telah lama diminta oleh penduduk dan berharap kesesakan lalu lintas di jalan berkenaan akan dapat diatasi.

"Kerja menaik taraf ini adalah sebahagian daripada proses yang berjalan sejak pemindahan penjaja di tepi Jalan Bukit Angkasa ke Pusat Penjaja Bazaria Pantai," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah untuk projek berkenaan di sini, Khamis.

Beliau berkata selain kerja menaik taraf dan pembesaran jalan kepada dua lorong bagi setiap hala, akan turut disediakan 200 petak letak kereta di tepi jalan di kedua-dua hala. Mengenai pemindahan penjaja, Raja Nong Chik berkata kebanyakan penjaja bersetuju untuk berpindah ke tempat baru yang disediakan.

"Kita berunding dan tidak menghalau mereka begitu sahaja dan saya yakin majoriti akan berpindah dan berharap tidak ada pihak yang mempolitikkan perkara ini. Jika tidak perkara ini tidak akan selesai," katanya.

Kerja menaik taraf dan pelebaran Jalan Pantai Permai sepanjang 700 meter itu dijangka siap dalam tempoh 24 minggu iaitu sehingga Ogos ini.

Ia bermula dari persimpangan Lebuhraya Pantai Baru hingga ke persimpangan Jalan Kerinchi/Pantai Hill Park.

Antara skop kerjanya ialah melibatkan pemindahan penjaja serta merobohkan struktur; kerja-kerja pengorekan; kerja-kerja membina kerb dan pemisah jalan serta penyediaan petak letak kereta.

Ia turut meliputi naik taraf longkang tepi jalan; penyediaan siar kaki; penyediaan pagar; kerja-kerja pemasangan lampu; kerja-kerja landskap dan pemindahan/pengalihan utiliti. - BERNAMA

Artikel Lain