suria

Polis Ada Petunjuk Kukuh Kes Pembunuhan Dirang - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata polis mempunyai petunjuk kukuh berhubung kes culik dan pembunuhan kejam Nurul Nadirah Abdullah, 5, yang dilaporkan hilang hampir dua minggu lalu.

Bagaimanapun Hishammuddin menjelaskan kesemua suspek yang ditahan masih belum didakwa di mahkamah.

"Saya sahkan kita sudah menahan beberapa suspek. Mereka sedang disiasat untuk memastikan tidak ada lagi suspek lain yang masih bebas.

"Kita nak pastikan agar tiada sesiapa pun di luar sana yang terlibat dalam kes ini bebas.

"Mereka belum didakwa, tapi kita mempunyai petunjuk yang kukuh," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Polis sebelum ini mengesahkan Nurul Nadirah atau Dirang dibunuh dan dibakar selepas ujian DNA rangka manusia yang ditemui rentung di ladang kelapa sawit Nusa Damai, Khamis lalu dilakukan.

Pengesahan itu dibuat selepas Jabatan Kimia membandingkan sampel DNA mayat yang dijumpai itu dengan ibu mangsa, Roselyn Alan, 25.

Dalam pada itu ditanya mengenai jumlah terkini suspek yang ditahan, Hishammuddin berkata:

"Lebih baik saya tidak sahkan jumlahnya sekarang kerana mungkin ada lebih.

"Buat masa ini kesemua yang ditahan adalah warga tempatan."

Diminta mengulas mengenai laporan awal yang mengaitkan bahawa salah seorang suspek yang ditahan merupakan ahli keluarga mangsa, Hishammuddin berkata:

"Setahu saya tidak ada."

Nurul Nadirah dilaporkan hilang selepas ke kedai runcit di tingkat bawah blok perumahan bersebelahan kediamannya untuk membeli mi segera dan telur dengan membawa wang tunai RM4, dalam kejadian jam 10 pagi 1 Mac lalu.

Kehilangannya menimbulkan tanda tanya apabila sebelah seliparnya ditemui dalam kebun sawit berhampiran perumahan itu, manakala satu lagi ditemui 500 meter dari situ dengan telur yang dibelinya pecah dan mi segera bertaburan.

Artikel Lain