suria

Pembantu Kedai Didenda RM2,000 Cederakan Seorang Lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu kedai makanan didenda RM2,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang lelaki.

Majistret Azmil Muntapha Abas menjatuhkan hukuman itu terhadap Noraidell Asone Jamaluddin, 27, kerana dengan sengaja mencederakan Ahmad Al Khusairi Mohd Nasir, 25, pada 19 Feb lepas, di Pusat Snooker Top Two di Jalan Kuchai Lama, Brickfields, pada 19 Februari.

Mengikut pertuduhan, Noraidell Asone menggunakan objek keras sehingga menyebabkan kecederaan di belakang kepala serta lebam-lebam di belakang badannya.

Di Mahkamah Majistret lain, seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mencuri dan menjual motosikal bernilai RM1,800 awal Mac, lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Ng Guat Hwa, 50, didakwa mencuri motosikal milik Nasiman Sadi, 55, pada 26 Jun, 2011, pukul 12.20 tengah hari hingga 1.15 petang di tepi lorong sebelah Pasaraya Mydin, Chow Kit dalam Daerah Dang Wangi.

Pertuduhan kedua pula Ng didakwa menjual motosikal itu kepada Akbar Ahmad Bacheer, 31.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah jambatan di Kepong Baru, Sentul, antara Feb dan Mac lepas.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menetapkan 13 April untuk sebutan dan membenarkan Ng diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin. - BERNAMA

Artikel Lain