suria

Pemandu Dan Kelindan Lori Maut Nahas Di LPT

MARAN: Seorang pemandu lori dan kelindannya maut dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah lori dan treler di Km158.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), dekat sini, pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Ahmad Johari Shahbudin berkata dalam kejadian 5.50 pagi itu, lori terbabit yang dipandu Muzadrul Hasdi Mahmud melanggar bahagian belakang sebuah treler yang membawa muatan bijih besi.

"Muzadrul Hasdi, 35, dan kelindannya, Mohd Fuzi Yaakob, 22, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan. Pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata ketika kejadian lori dan treler terbabit dari arah Temerloh menuju ke Kuantan.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Pusat Kesihatan Maran untuk dibedah siasat.

Ahmad Johari berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Artikel Lain