suria

Najib Nasihat SUPP Fokus Kepada PRU - Chin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) supaya memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum dan terhalang berikutan aduan beberapa anggota yang tidak berpuas hati kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS)," kata presiden parti Datuk Seri Peter Chin.

Katanya perkara ini disampaikan Perdana Menteri sendiri semasa kunjungan hormat anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) SUPP pada Selasa, 13 Mac.

"Ini adalah nasihat. Bekerja dan pastikan di kawasan anda, anda mampu menang. Jangan terpengaruh dengan isu ROS. Sebagai presiden parti, saya menganggapnya sebagai nasihat yang amat baik dan bahawa kepimpinan SUPP hari ini akan melakukan yang terbaik bagi memenangi kerusi itu walaupun kami tahu sesetengah daripadanya adalah sangat susah," katanya kepada Bernama.

Pada pilihan raya umum 2008, SUPP memenangi enam kerusi Parlimen - Serian, Sarikei, Miri, Sibu, Lanang dan Stampin - dan kalah kepada DAP di Bandar Kuching.

Bagaimanapun, kerusi Sibu hilang dalam pilihan raya kecil 2010 berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew.

Chin, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air juga berkata parti itu akan mengadakan satu siri sesi bertemu orang ramai dan jerayawara di tujuh kawasan yang ditandingi parti itu dalam usaha membetulkan isu yang membabitkan pengundi sebelum pilihan raya diumumkan.

"Kami juga diminta mengenal pasti calon dan pada masa yang sesuai, mengemukakannya kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN).

"Dalam soal persiapan, kami akan menjalankan tugas sebaik mungkin selepas persidangan Parlimen yang sedang berlangsung sekarang, berakhir," katanya.

Bagaimanapun, sayap Pemuda dan Wanita parti itu akan digerakkan terlebih dahulu untuk menjalankan tugas sebaik mungkin untuk bertemu orang ramai bagi menangani sebarang isu berbangkit.

Selain itu, katanya, semasa kunjungan hormat itu, Najib yang juga pengerusi BN menasihatkan pelbagai puak dalam parti supaya menghentikan perbalahan dalaman dan bekerjasama bagi menghadapi pilihan raya umum.

Parti itu berpecah kepada dua kumpulan selepas satu kumpulan yang dipimpin bekas setiausaha agung Datuk Seri Wong Soon Koh memutuskan untuk memboikot persidangan perwakilan tiga tahun sekali (TDC) akhir tahun lepas berikutan dakwaan penyelewengan dan manipulasi pemilihan cawangan sebelum pemilihan parti diadakan.

Berikutan itu, Chin, yang mengetuai satu kumpulan lagi, dipilih sebagai Presiden parti yang baru, Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot sebagai timbalannya dan Dr Sim Kui Hian sebagai setiausaha agung.

Anggota CWC yang baru juga dipilih. - BERNAMA

Artikel Lain