suria

KPWKM Teruskan Program Advokasi Untuk Jamin Tiada Diskriminasi Terhadap Wanita

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneruskan program advokasi dengan kementerian dan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan setiap dasar, perundangan, program dan bajet kerajaan tidak mempunyai unsur diskriminasi ke atas wanita.

Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata program tersebut bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kepekaan pegawai kerajaan terhadap isu gender serta meningkatkan kefahaman mengenai komitmen negara terhadap Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW)).

"Program advokasi ini juga adalah untuk meningkatkan kemahiran bagi mengaplikasi perspektif gender dalam penggubalan dasar, perundangan, program dan bajet kerajaan.

"Ianya (program advokasi) dijalankan dengan kerjasama pakar gender, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Pusat Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER) dan All Women's Action Society (AWAM)," katanya.

Shahrizat berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang bertanya sama ada kerajaan telah membatalkan polisi diskriminasi selepas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam kes Noorfadilla Ahmad Saikin, serta langkah yang diambil untuk memastikan polisi dan undang-undang negara mematuhi CEDAW dan Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Pada Julai tahun lepas, Noorfadilla yang kehilangan jawatan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) kerana hamil pada 2009, berjaya dalam tuntutannya apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa beliau layak dan berhak dilantik untuk jawatan tersebut.

Shahrizat juga berkata KPWKM telah melatih gender focal point (GFP) dari 42 kementerian dan agensi kerajaan pada tahun 2011.

"Sebanyak dua sesi latihan telah diberikan dan ianya penting kerana GFP memainkan peranan penting dalam penggubalan dan kajian semula perundangan, dasar dan program di kementerian dan jabatan masing-masing," katanya.

KPWKM berharap pengetahuan yang diberikan dapat membantu GFP terbabit untuk memainkan peranan secara proaktif dalam menganalisa isu serta dasar perundangan dan program dari perspektif kesaksamaan gender, katanya.

Mengenai keputusan kes Noorfadilla, beliau berkata berkata ia mengikat kerajaan untuk mengiktiraf kesaksamaan gender selaras dengan peruntukan dalam CEDAW yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada tahun 1995 dan Perkara 8 (2), Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas dalam penghapusan diskriminasi berasaskan gender. - BERNAMA

Artikel Lain