suria

Kementerian Pelajaran Siasat Laporan Kaji Selidik Kecenderungan Politik Guru

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan menjalankan siasatan berhubung laporan sebuah portal berita kononnya Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Tawau, Sabah sedang menjalankan kajian kecenderungan politik guru-guru di daerah itu.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pihak kementerian telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud untuk menjalankan siasatan sebaik menerima aduan daripada anggota Parlimen Tawau Datuk Dr Chua Soon Bui.

"Ia memang mengejutkan saya bahawa PPD Tawau telah mengeluarkan kaji selidik sedemikian. Jika ia memang daripada kementerian kenapa hanya satu daerah sahaja," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Khamis.

Wee mengulas laporan sebuah portal bahawa guru-guru di Tawau diminta melabelkan diri mereka sebagai putih jika menyokong kerajaan, hitam sekiranya memihak kepada pembangkang atau kelabu bagi mereka yang tidak pasti.

Borang kaji selidik yang sama juga dilapor telah diedar di sebuah sekolah rendah di ibu negara.

Katanya jika benar borang kaji selidik itu dikeluarkan atas arahan kementerian, ia sepatutnya mempunyai logo Kementerian Pelajaran atau Jabatan Pelajaran Negeri.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tindakan yang bakal diambil, sehingga siasatan selesai dijalankan. - BERNAMA

Artikel Lain