suria

Isu Tender Kem Oran - MB Perlis Akan Bertemu Kontraktor

KANGAR: Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu akan bertemu kumpulan kontraktor Bumiputera kelas A berhubung isu tender pembinaan semula Kem Regimen Sempadan dan Skuadron Medan Jurutera (Kem Oran) di sini.

Beliau berkata pertemuan yang dijadual pada Jumaat itu adalah bagi mendapatkan gambaran sebenar sebelum memanjangkan isu kepada kementerian terbabit, atau kepada pihak yang lebih tinggi.

Mengulas tindakan sekumpulan kontraktor Bumiputera Kelas A yang memprotes Kementerian Pertahanan kerana mengiklan semula tender yang pernah dikeluarkan pada Mei tahun lalu, Md Isa berkata beliau perlu meneliti perkara itu.

Pada Khamis, sekumpulan 14 kontraktor Bumiputera Kelas A dari Perlis memprotes tindakan Kementerian Pertahanan itu selepas berakhirnya proses lawatan tapak projek tersebut di Chuping dekat sini.

Mereka antara kira-kira 80 kontraktor, termasuk dari Kedah dan Pulau Pinang, yang melawat tapak ekoran tender yang pernah dikeluarkan tahun lalu dan diiklankan semula.

Jurucakap kumpulan itu, Amir Effendy Hashim berkata sebelum ini, tender tersebut hanya terbuka kepada kontraktor Bumiputera kelas A di Perlis dan sejumlah 14 kontraktor membida tender yang ditutup pada Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata setelah menunggu begitu lama tanpa mendapat sebarang jawapan, mereka mengirim surat kepada kementerian itu dan salinannya diberikan kepada Md Isa pada 12 Jan lepas.

Katanya, mereka kemudian amat terkejut apabila mendapati iklan tender yang pernah dikeluarkan pada Mei tahun lalu diiklan semula dan ia turut ditawarkan kepada kontraktor Bumiputera kelas A dari Kedah dan Pulau Pinang.

"Kami terkilan dengan tindakan ini seolah-olah kami tidak berupaya melakukan kerja-kerja itu sehingga Kementerian mengiklan semula tender yang sama dan membuka ruang kepada kontraktor negeri lain," katanya.

Beliau berkata iklan yang pernah dikeluarkan tahun lalu diiklankan semula pada 12 Mac lalu, dan lawatan tapak diadakan hari ini manakala tarikh tutup penyerahan dokumen ialah pada 4 April. - BERNAMA

Artikel Lain