suria

Insentif Penerbitan Bagi Pacu Industri Filem Tempatan - Rais

KUALA LUMPUR: Insentif penerbitan iaitu rebat 30 peratus daripada perbelanjaan dalam negara selepas diaudit, bagi filem antarabangsa yang menjalani penggambaran di Malaysia dan filem tempatan, adalah antara langkah bagi memacu industri filem tempatan.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata keputusan itu merupakan pemberian bantuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada dunia perfileman yang diluluskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada minggu lepas.

Katanya minimum amaun yang diambilkira ialah RM5 juta bagi filem luar dan RM2.5 juta bagi filem tempatan.

"Ini bermakna, bagi setiap RM5 juta yang dibelanjakan itu, sudah tentu 30 peratus daripadanya boleh dikeluarkan semula untuk dikembalikan kepada pembikin filem. Begitu juga bagi pembuat filem tempatan, 30 peratus daripada RM2.5 juta itu boleh dikembalikan untuk rebat.

"(Bagaimanapun) ia harus dibuktikan perbelanjaan sebenar membuat filem tersebut dan selepas diaudit, kerajaan boleh sehingga 30 peratus perbelanjaan itu yang dibelanjakan dalam negara, dipulangkan semula," katanya selepas melancarkan program Siri Pembentangan Industri: Transformasi Dunia Perfileman Tempatan, di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di sini, Khamis.

Program itu bersempena dengan Hari Terbuka FINAS selama tiga hari bermula hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah FINAS Mohd Naguib Razak.

Berhubung penguatkuasaan rebat itu, Rais berkata kerajaan sudah boleh mula meluluskannya mengikut projek demi projek. Beliau berkata jualan kandungan filem dan televisyen oleh FINAS di pasaran antarabangsa telah mencatat lonjakan yang besar iaitu RM6.5 juta pada tahun 2010 kepada RM93 juta tahun lepas.

Sehubungan itu, katanya, kementerian akan menganjurkan forum dan ekspo iaitu, 'Kuala Lumpur Communications and Content Industry Market' (KLCCIM) yang berkemungkinan akan diadakan pada September ini bagi memacu peningkatan filem dan kandungan tempatan ke peringkat antarabangsa.

Katanya program-program khusus bagi tujuan itu akan diperkenal dan dipercepatkan lagi dengan tumpuan yang diberikan kepada perjanjian kerjasama, yang sedang dirancang atau bakal dihasilkan dengan negara-negara seperti Australia, Singapura, Indonesia, Jepun dan United Kingdom.

Rais berkata peruntukan istimewa Geran Industri Kreatif sebanyak RM120 juta baru sahaja disalurkan kepada kementerian yang bertujuan membantu industri kreatif iaitu animasi, pembikinan filem dokumentari atau cereka yang terkandung elemen kreatif.

Katanya Timbalan Ketua Setiausaha kementerian dan FINAS telah diminta untuk mewujudkan badan amanah bagi membuat keputusan berhubung permohonan yang diterima untuk diberi pertimbangan.

Beliau berkata tumpuan turut diberikan kepada program animasi bagi para penerbit animasi dan bakat baru tempatan melalui peruntukan sebanyak RM30 juta daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang kini telah membantu 12 syarikat dengan jumlah peruntukan RM19 juta.

Katanya selaras dengan kewujudan Pinewood Iskandar Studios Malaysia, di Johor Baharu, Johor, penerbit tempatan dan antarabangsa akan dapat menikmati pakej kemudahan penggambaran, pasca-produksi, 'sound mixing' dan kesan khas komprehensif dan kompetitif di Malaysia.

"Studio itu hampir siap dan kami akan membuat satu lawatan khas untuk melihat kemudahan yang boleh diberikan. Cuma kami ingin menekankan, supaya kadar sewaan dan kadar bayaran untuk kemudahan pasca produksi itu berpatutan untuk pengamal perusahaan filem kita," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain